Penjala ikan menunjukkan lokasi penemuan mayat Rudziah. FOTO Kamal Majid.
Penjala ikan menunjukkan lokasi penemuan mayat Rudziah. FOTO Kamal Majid.
Oleh Rosliza Mohamed


Jeli: Selasa lalu, Rudziah Shaufee, 50, dipercayai keluar rumah bersendirian sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya semalam.

Hari ini, khabar duka diterima ahli keluarga wanita itu apabila mayatnya yang dalam keadaan reput ditemui di kuala Air Kepal, Sungai Pergau, di sini, 12.30 tengah hari tadi.

Sumber polis berkata, mayat ditemui penjala ikan yang melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Sepasukan anggota polis ke tempat kejadian dan menemui mayat berkenaan yang sudah reput.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas mayat itu, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dua hari lalu.

"Mayat dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan termasuk kemungkinan mangsa mati dibunuh," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang wanita hilang selepas dipercayai keluar rumah bersendirian di Kampung Batu Melintang, Jeli, Selasa lalu.

Berikutan itu ahli keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Melintang, di sini, kira-kira 3 petang, semalam

Kehilangannya disedari kanak-kanak yang ke rumahnya untuk mengaji al-Quran dan kemudian memaklumkan kepada saudara mangsa yang tinggal di kawasan berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 8:51 PM