PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa yang ditemui tiga kilometer dari lokasi dia tergelincir. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa yang ditemui tiga kilometer dari lokasi dia tergelincir. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT kanak-kanak lelaki autisme yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir di Sungai Merab, Bangi, semalam ditemui, hari ini.

Noor Adam Faiq Noor Azam, 11, disedari hilang oleh keluarganya pada 12 tengah hari selepas selepas didapati tidak bermain bersama dua adiknya.

Ketua Zon 5 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba II Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, mayat mangsa ditemui pada 10.15 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai 103 pegawai dan anggota termasuk pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bermula pada 8 pagi selepas ditangguhkan pada 7 malam semalam.

“Hasil pencarian, kita menemui mayat mangsa tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai tergelincir,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Mohd Fadhil berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Harian Metro semalam, melaporkan mangsa dipercayai tergelincir di sungai berkenaan selepas bapa Noor Adam Faiq menemui kasut dan seluar milik kanak-kanak itu di tebing sungai.

Berita berkaitan

Budak autisme dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 11:58 AM