ANGGOTA bomba dan penyelamat dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan juga anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) bekerjasama meneruskan operasi mencari mangsa lemas, Alif Aiman Mohd Adli, 12, di Sungai Kelantan, Kampung Pak Limah, Salor, Kota Bharu. FOTO Faris Zainuldin

Siti Nor Hidayatidayu Razali

OPERASI mencari dan menyelamat murid tahun enam yang dikhuatiri lemas semalam di Sungai Kelantan di Kampung Pak Limah, Kota Bharu diteruskan hari ini.

Mangsa, Alif Aiman Mohd Adli, 12, tergelincir ketika membasuh kaki di sungai berkenaan, 4.10 petang semalam.

Sebelum kejadian, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Pasir Mas bersama empat rakannya membaling batu di sungai itu sebelum mangsa terjatuh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, pencarian bermula 7 pagi diperluaskan dalam sekitar tiga kilometer dari lokasi mangsa jatuh.

Katanya, arus sungai sangat deras memandangkan keadaan hujan, namun operasi yang disertai 60 anggota termasuk pegawai daripada bomba, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan meneruskan misi sehingga mangsa ditemui.

"Sebahagian anggota mencari dengan menaiki lapan bot dan sebahagian lagi menyelam di dasar sungai sekitar 40 meter.

"Kita harap mangsa ditemui dengan segera walaupun keadaan arus bahaya," katanya ketika ditemui lokasi kejadian, hari ini.

Terdahulu, kanak-kanak lelaki, Alif Aiman Mohd Adli, 12, dipercayai lemas selepas tergelincir ketika membasuh kaki di Sungai Kelantan kira-kira 4.10 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 6:38 PM