MUJAHID (dua dari kanan) melihat replika astaka pada pra pelancaran MTHQA Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut hadir Mohamad Nordin (dua dari kiri). FOTO Bernama
MUJAHID (dua dari kanan) melihat replika astaka pada pra pelancaran MTHQA Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut hadir Mohamad Nordin (dua dari kiri). FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


MAJLIS Tilawah dan Menghafal Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-61 yang akan berlangsung enam hari bermula 15 April ini turut menarik minat lima negara Eropah menyertainya untuk kali pertama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, negara itu adalah Sweden, Norway, Azerbaijan, Montenegro dan Austria, selain dua negara Afrika iaitu Kenya dan Ivory Coast yang julung kali menyertai MTHQA di negara ini.

Beliau berkata, penganjuran majlis bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ itu secara keseluruhannya setakat ini menarik penyertaan 70 daripada 90 negara yang dijemput.

“Pemilihan lokasi penganjuran iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah satu kelainan tahun ini berbanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ini.

“Dengan kapasiti dewan antara 3,000 hingga 5,000 serta kemudahan pengangkutan awam cekap seperti Transit Aliran Ringan (LRT), perkhidmatan percuma bas GO-KL selain jumlah parkir yang banyak di pusat konvensyen ini, kami yakin penganjuran kali ini akan berjalan lancar.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah memberikan jaminan keselamatan termasuk untuk peserta, hakim dan orang ramai yang menghadiri MTHQA ke-61 ini,” katanya pada sesi taklimat media pada Pra Pelancaran MTHQA ke-61 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mengulas lanjut, katanya, acara tilawah al-Quran akan berlangsung dari 15 hingga 19 April jam 8.45 hingga 11 malam, manakala menghafaz al-Quran dilangsungkan antara 16 hingga 18 April, 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Pada 20 April, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah.

“MTHQA ke-61 akan dihakimi seramai 14 ahli jemaah hakim dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran tahunan MTHQA menzahirkan komitmen Malaysia dalam menerapkan budaya minat membaca Al-Quran, memahami inti pati serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Allah dalam kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:17 PM