SYAIKH Dr Al-Waleed Khalid Al Shamsan (gambar kecil) memuji penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 di Kuala Lumpur. FOTO NSTP
SYAIKH Dr Al-Waleed Khalid Al Shamsan (gambar kecil) memuji penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 di Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Idris Musa


IMAM Masjid Quba di Madinah menyifatkan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) kali ini sudah mencapai usia matang, dengan tahap penganjuran terbaik dan menjadi contoh kepada negara lain.

Syaikh Dr Al-Waleed Khalid Al Shamsan yang dijemput sebagai hakim bagi MTHQA kali ini berkata, majlis tilawah ini lebih istimewa kerana sudah melalui sejarah yang panjang.

Beliau berkata, peserta pula adalah mereka yang terpilih dari negara masing-masing, sekali gus mempunyai kualiti dalam bacaan dan hafazan yang sangat baik.

“Terima kasih kerana wakil Arab Saudi turut menjadi hakim pada majlis tilawah ini. Penghakiman kali ini berlainan berbanding di tempat lain.

“Di sini prestasi penghakiman tinggi kerana hakim ditempatkan di bilik berasingan dengan peserta bagi mengelakkan berlaku berat sebelah.

“Pencapaian peserta menunjukkan bacaan dan hafazan sangat baik. Berdasarkan pengalaman terbabit dalam penghakiman, majlis kali ini sukar untuk menentukan pemenang sebab mereka memberi persembahan terbaik.

“Saya harap tak berlaku perbezaan ketara dari segi pemarkahan. Ini kerana ada proses saringan dan peserta terbaik yang terpilih. Mereka peserta terbaik mewakili negara masing-masing,” kata Prof Madya di Universiti Islam Madinah itu.

MTHQA ke-61 2019 berlangsung selama enam hari dari 15 hingga 20 April ini, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Majlis ini akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena majlis penutup dan pengurniaan hadiah pada Sabtu ini.

Seramai 14 hakim terbabit dalam penghakiman, dengan tilawah dari aspek tajwid (35 markah), taranum (25 markah), fasahah (20 markah) dan suara (20 markah) manakala hafazan membabitkan mutu hafazan dan kelancaran (55 markah), tajwid dan fasahah (35 markah) serta suara, persembahan dan taranum (20 markah).

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Hakim MTHQA Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata secara keseluruhan kualiti persembahan peserta sangat baik termasuk dari luar dunia Arab.

“Mereka mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan bacaan mereka baik.

“Hakim pula tiada masalah kerana mempunyai pengalaman dan kepakaran yang tinggi. Setakat ini tiada aduan dan masalah,” katanya.

Bagi Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang menjadi hakim majlis tilawah dari 1984, beliau nampak ada perubahan besar dalam pertandingan mutakhir ini.

“Kalau dulu, tahun 80-an peserta adalah golongan dewasa, tapi akhir-akhir ini ramai peserta muda berusia 25 tahun ke bawah, maknanya bagus, hafazan mereka mantap.

“Malah, di negara lain ditetapkan usia muda dan kita jika hendak hantar peserta ke negara lain wajar ambil peserta muda, malahan ada yang usianya belasan tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:27 AM