Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan minum petang bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 1444 Hijrah/2022 Masihi. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan minum petang bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 1444 Hijrah/2022 Masihi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis santapan minum petang bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 1444 Hijrah/2022 Masihi.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis santapan yang diadakan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara di sini.

Kira-Kira 200 tetamu jemputan dari beberapa negara antaranya Afrika Selatan, Belgium, Iran, Maldives, Brunei dan Thailand menghadiri majlis itu.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Seri Paduka berdua turut berkenan bergambar bersama hakim dan peserta MTHQA ke-62.

Pada majlis itu, para tetamu disajikan dengan klip video bacaan al-Quran dan persembahan kumpulan nasyid tempatan iaitu Awla.

Sebelum majlis berakhir, Seri Paduka berdua berkenan mengurniakan cenderamata kepada jemaah hakim MTHQA ke-62 sebagai tanda kenang-kenangan.

MTHQA ke-62, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 24 Oktober, membabitkan penyertaan 36 individu bagi kategori tilawah dari 28 negara termasuk Malaysia.

MTHQA ke-62 diadakan secara fizikal dan turut disiarkan secara langsung di saluran RTM TV1 serta media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bermula 8.30 hingga 11 malam.

Malaysia adalah tuan rumah bagi penganjuran MTHQA setiap tahun dan pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 dari Kuwait International Prize of Holy Quran.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijangka berangkat ke Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah MTHQA ke-62 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 6:21 PM