Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Dua lelaki diberkas polis susulan cubaan samun wanita warga emas di Taman Kampar, Pasir Puteh, di sini, petang semalam, yang video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua suspek berusia 23 dan 28 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa berusia 68 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa cuba disamun dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha 125Z ketika berada di belakang deretan kedai.

"Mangsa dihampiri sebuah motosikal sebelum suspek bertindak menarik bajunya serta meminta wang.

"Mangsa menjerit meminta tolong dan orang awam datang membantu serta menahan suspek. Bagaimanapun suspek dilepaskan oleh orang awam selepas mereka mendakwa hanya berlaku salah faham," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan laporan dibuat mangsa dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, polis mendapati berlaku cubaan samun dan suspek berjaya dikesan.

"Tangkapan dibuat di sebuah rumah di Taman Perpaduan Ulu Kinta, di sini, dan seorang lagi di tepi jalan Kampung Tersusun Batu 5.

"Polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 6:53 PM