AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Arkib NSTP.
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan tidak berlaku lagi keciciran dalam kalangan anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka akan terus diberi peluang menyambung pengajian dalam pelbagai lapangan kursus serta pendidikan khususnya dalam bidang kemahiran dan teknikal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya beruntung mempunyai universiti sendiri iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) yang kini sudah dinaiktaraf kepada Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

"Sebagai kementerian dan agensi yang bertanggungjawab di dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar terutamanya kaum Bumiputera, kita perlu terus berusaha dan memastikan tidak lagi berlaku keciciran di kalangan lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran.

"Kita perlu pastikan 'no one is left behind'. Jangan ada prasangka mereka yang dianggap tercicir dalam bidang akademik termasuk bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tidak ada peluang dan masa depan. UniKL sudah membuktikan mereka juga aset kepada negara dan mampu untuk cemerlang," katanya.

Beliau yang juga Pro Canselor UniKL berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Konvokesyen ke-19 UniKL di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Turut sama hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Roziah Omar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata adalah tidak mustahil seorang pelajar dari program persijilan dari Giat Mara atau Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej Keda) dapat meneruskan pengajian ke peringkat diploma di IKM atau Perda-Tech dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) di UniKL.

"Pemurnian kurikulum di antara UniKL dan Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Mara Japan Industrial Institute (MJII) sudah berjaya menghasilkan program 'three plus two' (3+2).

"Di mana pelajar IKM, KKTM dan MJII hanya perlu mengikuti dua tahun pengajian peringkat sarjana muda selepas mengikuti program diploma selama tiga tahun di IKM, KKTM dan MJII dengan perpindahan kredit maksima 50 peratus ke program sarjana muda.

"Program sebegini perlu diperbanyakkan lagi dan dipromosikan di kalangan lepasan SPM," katanya sambil menambah kerajaan terus menyokong Mara dan UniKL dalam penawaran program modal insan yang berimpak tinggi seterusnya menjamin peluang pekerjaan atau pilihan menjadi seorang usahawan.

Beliau berkata, usaha itu dapat dibuktikan dengan peruntukan dana kerajaan melalui projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bernilai RM 71 juta yang sudah diperuntukkan setakat ini.

Peruntukan itu kata beliau sedang digunakan bagi membangunkan peralatan pengajaran dan pembelajaran terkini seperti keselamatan siber, digital media, tenaga boleh perbaharui, Sijil Professional European Aviation Safety Agency – Part 147 Maintenance Training Organization serta sijil Professional Signalling And Communication di bawah Institute Of Railway Signal Engineer, United Kingdom.

Dalam pada itu katanya, Malaysia berada dalam kelompok 18 negara terbaik daripada 163 buah negara, dalam indeks keamanan global 2022, sekaligus berpotensi menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur atau pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 11:17 AM