GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Faliq Lajim


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi maklumat secukupnya kepada rakyat mengenai tindakan penguatkuasaan agensi itu.

Titah baginda, ia susulan kekerapan rungutan orang ramai bahawa terdapat aduan rasuah yang dibuat tidak diketahui kesudahannya.

“Akhbar-akhbar banyak melaporkan tangkapan dan tahanan reman dibuat terhadap mereka yang disyaki melakukan amalan rasuah. Namun, kesudahannya sama ada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui.

“Persoalan yang dibangkitkan rakyat adalah sama ada mereka yang dilapor melakukan rasuah ini benar-benar sudah disiasat dan diadili mengikut undang-undang.

“SPRM seharusnya memberi maklumat secukupnya kepada rakyat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dilakukannya dan hasil daripada siasatan juga perlu sampai ke pengetahuan rakyat secara berkesan.

“Maklumat lengkap hasil siasatan ini penting bagi mengelak persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak tertentu dalam melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.

Beliau bertitah demikian selepas berkenan merasmikan bangunan baharu Kompleks SPRM di Shah Alam, hari ini.

Turut berkenan berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Dalam pada itu, baginda menasihatkan SPRM supaya kekal menjadi satu badan yang bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana pihak termasuk orang politik.

Titah baginda, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain ‘without fear or favour’.

“Pegawai penyiasat SPRM perlu diberi kebebasan dengan kuasa yang ada kepada mereka untuk menjalankan tugas penyiasatan secara profesional tanpa arahan tertentu yang boleh mengganggu penyiasatan.

“Menerusi langkah ini, SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai rakyat bagi membanteras gejala rasuah sekali gus menepis segala tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan dalam menjalankan amanah,” titahnya.

Kompleks baharu SPRM Selangor bernilai RM41 juta itu mula dibina hujung Februari 2014 dan diserahkan secara rasmi pada November tahun lalu.

Bangunan yang dibina atas tanah berkeluasan 2.9 hektar itu mempunyai enam tingkat blok utama, gudang sita dan blok mekanikal berkenaan direka menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.

Kompleks baharu itu turut dilengkapi dengan kemudahan 12 bilik rakaman percakapan saksi dan tertuduh termasuk tiga bilik yang dilengkapi alat perakam video canggih dikenali bilik temu duga video (VIR), bilik kawad cam, surau, pusat sumber dan gimnasium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 11:59 AM