SULTAN Sharafuddin (kanan) bersama Al-Sultan Abdullah. FOTO Ihsan Selangor Royal Office.
SULTAN Sharafuddin (kanan) bersama Al-Sultan Abdullah. FOTO Ihsan Selangor Royal Office.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'​ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda, hari ini.

Sultan Sharafuddin dalam titah perutusannya menerusi Selangor Royal Office itu turut mendoakan kesihatan Al-Sultan Abdullah.

"Waba'dah ehwal dengan ingatan tulus ikhlas dan rasa kesyukuran Paduka Kekanda dan Paduka Kekanda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tanggal 7 Jun 2021.

"Paduka Kekanda mendoakan semoga Seri Paduka Adinda dilanjutkan usia, sihat wala'afiat dan sentiasa berada di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.

"Paduka Kekanda berharap agar Seri Paduka Adinda dapat terus memerintah negara Malaysia ini dengan adil lagi bijaksana berdasarkan Perlembagaan Negara," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesabaran dalam menerajui negara ini.

"Melihat kepada situasi semasa ketika ini, Paduka Kekanda juga berharap Seri Paduka Adinda sentiasa bersabar dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, berlandaskan agama Islam seperti firman Allah SWT di dalam al-Quran, 'Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami. (Surah As-Sajdah : ayat 24).

"Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam (nya)" (Surah Qaaf : ayat 39).

"Semoga Seri Paduka Adinda terus bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Malaysia dengan beroleh kemuliaan dan kesejahteraannya," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 8:41 AM