TENGKU Amir Shah bersalaman dengan tetamu pada majlis penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017.
TENGKU Amir Shah bersalaman dengan tetamu pada majlis penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan jemaah haji supaya sentiasa menjaga nama baik negara dan negeri ini ketika berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Menurut baginda, jemaah haji juga disaran mengikuti segala arahan dan peraturan yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji.

“Beta mendoakan supaya bakal haji diberi kesihatan yang baik supaya dapat melakukan ibadah haji dengan lancar dan sempurna,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Tengku Amir mewakili ayahandanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Baginda turut bertitah supaya semua peserta kursus perdana haji dapat mempelajari ilmu yang mencukupi sebagai bekalan untuk menunaikan fardu haji di Makkah dengan selamat.

“Semoga amalan bakal haji sekalian diterima Allah SWT dan mendapat haji mabrur,” titah baginda.

Sementara itu, Badlisyah berkata, bagi musim haji pada tahun ini, seramai 6,127 bakal jemaah haji dari Selangor terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:20 AM