PUTRAJAYA 22 MAC 2019. Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr. Abdul Jalil Hassan ketika taklimat media tentang penjawat awam yang merangkumi 25 hingga 30 peratus daripada warga sektor itu didapati mengalami tekanan emosi di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
PUTRAJAYA 22 MAC 2019. Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr. Abdul Jalil Hassan ketika taklimat media tentang penjawat awam yang merangkumi 25 hingga 30 peratus daripada warga sektor itu didapati mengalami tekanan emosi di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Samadi Ahmad


JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) tidak dapat mengesahkan kesahihan data didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengenai 400,000 penjawat awam yang mengalami tekanan dari sudut positif dan negatif.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr Abdul Jalil Hassan berkata, data berkenaan adalah anggaran kesatuan itu semata-mata berdasarkan kajian yang tidak membabitkan penjawat awam secara menyeluruh.

Menurutnya, tidak dinafikan ada dalam kalangan penjawat awam yang tertekan, namun definisi itu perlu difahami dengan jelas bagi mengelak persepsi negatif kepada penjawat awam dan kerajaan.

“Kajian diadakan CUEPACS itu hanya berdasarkan sampel mudah melalui libat urus dan pergaulan antara pelajar universiti dan segelintir penjawat awam serta tidak mewakili populasi 400,000 penjawat awam yang didedahkan,” katanya pada sesi taklimat bersama media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, CUEPACS mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan, ada yang diberikan kad psikiatri dan punca utama masalah itu adalah kos sara hidup serta tekanan bekerja.

Presidennya, Datuk Azih Muda dalam laporan berkenaan berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend berkenaan tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.

Dalam pada itu, Abdul Jalil berkata, definisi tertekan perlu difahami dengan jelas oleh semua pihak kerana terdapat tekanan negatif dan tekanan positif, yang mana tekanan positif disifatkan baik untuk meningkatkan prestasi kerja dan juga jabatan.

Pada masa sama, beliau berkata, penyakit berkenaan boleh dirawat dan penjawat awam yang mengalami tekanan perlu mendapatkan rawatan dengan berjumpa doktor pakar dan ia tidak sepatutnya dikongsi di media sosial kerana perkara ini akan memudaratkan mereka.

Katanya, pada ketika ini masalah itu dapat ditangani oleh JPA dengan baik melalui penyediaan pegawai psikologi di setiap kementerian, jabatan, agensi dan juga negeri, manakala kajian untuk mengenal pasti jumlah sebenar akan diadakan dengan kerjasama semua pihak.

Berhubung dakwaan CUEPACS mengenai ada penjawat awam memiliki kad psikiatri, Abdul Jalil berkata, kad berkenaan adalah satu perkara peribadi bagi pesakit dan ia tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak kecuali pemilik.

“Kad psikiatri itu sebenarnya bukan diberikan untuk mengesahkan seseorang itu mengalami masalah mental semata-mata atau menjadi perkara negatif, sebaliknya ia bagi memudahkan pemilik kad untuk mendapatkan rawatan dan bantuan,” Katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 8:26 PM