Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan kenyataan berhubung 400,000 hingga 800,000 penjawat awam dari Kumpulan Pelaksana masih menerima gaji antara RM805 hingga RM820 sebulan.

Menerusi siaran akhbar dikeluarkan jabatan itu semalam, jumlah gaji bagi gred 11 iaitu gred terendah dalam perkhidmatan awam ialah antara RM832 hingga RM850.

“Jumlah pendapatan keseluruhan untuk kelompok ini iaitu gaji dan elaun ialah antara RM1,257 hingga RM1,275.

“Berdasarkan rekod rasmi kerajaan, jumlah penjawat awam yang menerima gaji RM850 ke bawah ialah seramai 3,072 kakitangan,” katanya, semalam.

Kelmarin, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda dilaporkan berkata, seramai 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan.

Memetik kenyataan Azih, mereka yang menerima gaji sedemikian kebanyakannya pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:17 AM