Azih (tengah) bersama peserta. FOTO Faiz Anuar
Azih (tengah) bersama peserta. FOTO Faiz Anuar
Norrasyidah Arshad


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyasarkan 300,000 lagi penjawat awam di seluruh negara menyertai polisi perlindungan takaful CUEPACSCare menjelang akhir tahun ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam bagi mendapatkan perlindungan kesihatan dan kemalangan tambahan untuk diri dan keluarga.

“Sejak polisi ini diperkenalkan 20 tahun lalu, rekod menunjukkan hanya 400,000 penjawat awam mendaftar berbanding jumlah penjawat awam 1.6 juta.

“CUEPACS tidak boleh memaksa semua penjawat awam mengambil skim ini kerana ia bersifat sukarela,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Latihan Keusahawanan My CUEPACSCare di Klang hari ini.

Mengulas lanjut, Azih berkata, sepanjang tahun lalu, 11,382 penjawat awam dan ahli keluarga menyertai CUEPACSCare menerima rawatan di hospital pakar swasta.

Beliau berkata, semua rawatan berkenaan membabitkan tuntutan berjumlah RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh CUEPACS.

Antara jenis penyakit yang paling banyak dirujuk sepanjang tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

“Lebih ramai kakitangan awam yang mengambil skim ini, ia akan membantu masalah longgokan pesakit di hospital kerajaan.

“Dengan pengambilan skim ini, kakitangan dapat menerima rawatan yang lebih baik sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja dengan lebih fokus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 12:19 AM