Muhamad Zaki (dua dari kiri) ketika menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bagi Tahun 2024/1445H di Balai Polis Jelawat, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Muhamad Zaki (dua dari kiri) ketika menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bagi Tahun 2024/1445H di Balai Polis Jelawat, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama di negeri ini bagi memantau sekolah pondok dalam menangani kejadian jenayah selain menjaga kebajikan pelajar institusi pengajian agama itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kebanyakan sekolah pondok mengamalkan sistem yang baik, namun berlaku kes jenayah terpencil.

Menurutnya, ia termasuk kes mudir dan pengasas rumah anak yatim dan tahfiz yang didakwa di Mahkamah Seksyen, semalam atas lima pertuduhan meliwat tiga pelajarnya.

"Kalau ada yang tak kena, kena lapor segera kepada Ketua Polis Daerah (OCPD), ketua balai (OCS) atau Ketua Polis (KP) sendiri.

"Saya pun dah ada perjumpaan dengan Maik (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (bagi membincangkan isu ini).

"Sekolah tahfiz dan pondok ini akan jadi perkara tumpuan kita tahun ini, selain kita terus tumpu kes penyalahgunaan dadah dan jenayah seksual terutama membabitkan golongan belia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di Balai Polis Jelawat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kelantan, Datin Suzana Yashin.

Muhamad Zaki berkata, beliau juga menggalakkan setiap IPD yang mempunyai institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah masing-masing supaya membuat hubungan antara satu sama lain.

Menurutnya, mereka boleh mengadakan aktiviti turun padang atau bersama pemimpin pelajar bagi memberi pendedahan tentang kes-kes jenayah supaya mereka tidak terjebak sebagai mangsa.

"Antaranya, elakkan mereka (pelajar) jadi keldai akaun untuk aktiviti scammer.

"Kita terima beberapa kes pelajar menerima upah RM200 hingga RM600 dengan memberi 'pinjam' akaun bank mereka untuk kegiatan ini.

"Mungkin kesalahan tidak nampak serius dan hukuman tidak berat, tetapi kesan perbuatan itu, mereka (pelajar) akan ada rekod jenayah, jadi titik hitam dalam hidup mereka," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, buat julung kali turut menjadi perjumpaan semula beberapa pegawai polis yang pernah memangku jawatan OCPD Bachok antaranya Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani dan Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 10:38 AM