ADNAN Mat (kiri) dan Abdul Halim (dua dari kiri) pada sidang media bersama 7 Agensi Badan Berkanun yang diasingkan saraan (BBDS) dan MTUC di  Tingkat 19, Menara PERKESO, Jalan Ampang. FOTO ASWADI ALIAS.
ADNAN Mat (kiri) dan Abdul Halim (dua dari kiri) pada sidang media bersama 7 Agensi Badan Berkanun yang diasingkan saraan (BBDS) dan MTUC di Tingkat 19, Menara PERKESO, Jalan Ampang. FOTO ASWADI ALIAS.
Muhaamad Hafis Nawawi


KESATUAN Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan lantikan Ketua Setiausaha (KSU) setiap kementerian tidak lagi dipilih oleh menteri atau timbalan menteri sebaliknya dilakukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs mempunyai beberapa isu yang ingin diketengahkan susulan pembentukan kerajaan baharu iaitu lantikan KSU selepas ini perlu melalui JPA dan bukan lagi dipilih menteri atau timbalan menteri.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan bahawa menteri yang memilih dan melantik KSU di kementerian masing-masing.

“Biar JPA tentukan setiap kedudukan siapa yang perlu ada di kementerian terbabit melalui kemahiran dan kecemerlangan yang ada pada pegawai awam itu.

“Kami berharap tiada lagi lantikan politik yang memegang jawatan dalam ketua perkhidmatan. Cuepacs ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan kepada penjawat awam apabila melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara dalam kalangan penjawat awam,” katanya pada sidang media di Menara Perkeso, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor.

Adnan berkata, pihaknya meminta kerajaan mengambil tindakan drastik dalam mengatasi masalah kos sara hidup yang membelenggu rakyat dan penjawat awam.

“Kami sebagai penjawat awam amat tertekan dengan situasi sekarang dan diharapkan kerajaan dapat mengambil langkah drastik bagi mempercepatkan usaha mengatasi masalah kos sara hidup.

“Selain itu, minimakan lantikan politik dalam kerajaan kerana ada peranan yang boleh dimainkan penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, MTUC berharap kerajaan kurang menempatkan lantikan orang politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Harap Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia mendengar saranan ini supaya GLC tidak dimonopoli orang politik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:44 PM