MOHD Khairul Adib ketika hadir pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2020. FOTO BERNAMA
MOHD Khairul Adib ketika hadir pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2020. FOTO BERNAMA
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KEPUTUSAN mengenai pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) akan diputuskan dalam Kabinet Rabu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, Kabinet juga akan memutuskan berhubung hala tuju BIPK kelak.

“Biar perkara ini (pemansuhan BIPK) diputuskan Kabinet pada Rabu ini.

“Kabinet juga akan putuskan hala tuju BIPK,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ketika diminta mengulas mengenai keputusan pemansuhan BIPK yang dikatakan dibuat tanpa memanggil pemegang taruh termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk berbincang, katanya pihaknya sudah mengikut peraturan ditetapkan.

“Setakat ini kita sudah mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Ahad lalu, Harian Metro melaporkan CUEPACS menggesa pekeliling baharu yang bakal dikeluarkan Kerajaan mengikut rundingan bersama seperti amalan sebelum ini.

Ini kerana hanya dengan rundingan antara JPA dan kesatuan sekerja itu dapat memberikan situasi menang-menang, selain mengurangkan tekanan kepada penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat dilaporkan berkata, kerajaan tidak seharusnya sepanjang masa memberi penekanan kepada penjawat awam dengan pelbagai isu, sebaliknya menjadi kerajaan yang prihatin kepada penjawat awam dan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 2:38 PM