KEADAAN Modenas Kriss milik pelajar lelaki Muhammad Azemi Yahya yang rosak teruk selepas melanggar Toyota Avanza di Kilometer (KM) 44.3, Jalan Teluk Intan-Klang, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN Modenas Kriss milik pelajar lelaki Muhammad Azemi Yahya yang rosak teruk selepas melanggar Toyota Avanza di Kilometer (KM) 44.3, Jalan Teluk Intan-Klang, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


PELAJAR lelaki Tingkatan Empat maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 44.3, Jalan Teluk Intan-Klang, di Shah Alam, malam tadi.

Dalam kejadian 9.25 malam, Muhammad Azemi Yahya, 16, meninggal dunia akibat parah di kepala dan anggota badan.

Manakala pemandu MPV jenis Toyota Avanza yang juga lelaki berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Kriss dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang.

"Tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal motosikalnya selepas MPV yang datang dari arah Klang masuk ke simpang kanan secara mengejut.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 11:16 AM