PEMBANTU penyelia kedai perkakas rumah, Nur Yusrah Othman yang maut dalam kemalangan di kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Batu 23, Sungai Nibong, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
PEMBANTU penyelia kedai perkakas rumah, Nur Yusrah Othman yang maut dalam kemalangan di kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Batu 23, Sungai Nibong, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


PERJALANAN pembantu penyelia kedai perkakas pulang ke rumahnya berakhir tragedi apabila kereta dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 60, Jalan Teluk Intan-Klang, berdekatan Batu 23, Sungai Nibong di Sekinchan, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa Nur Yusrah Othman, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati wanita yang memandu Perodua Axia bersendirian itu datang dari arah Sekinchan menuju ke rumahnya di Parit Satu, Sungai Panjang.

“Setibanya di lokasi itu, mangsa dikatakan hilang kawalan melanggar kon keselamatan di jalan berkenaan dan terbalik.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Kata Chee Khoon, ketika kejadian permukaan jalan tidak rata dan keadaan gelap kerana ketiadaan lampu jalan.

“Selain itu, hanya dua daripada empat lorong dibuka untuk kenderaan berikutan kerja pembinaan sedang dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 12:44 PM