JENAZAH Muhammad Luqman Syafaiq Md Zainuddin, 15, selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 61, Jalan Persekutuan Teluk Intan - Klang. FOTO Ihsan Pembaca
JENAZAH Muhammad Luqman Syafaiq Md Zainuddin, 15, selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 61, Jalan Persekutuan Teluk Intan - Klang. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


REMAJA lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 61, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, Sungai Besar, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, lebih menyedihkan, mangsa, Muhammad Luqman Syafaiq Md Zainuddin, 15, yang terjatuh turut dirempuh kereta dari arah belakang yang tidak sempat menekan brek.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa bersama rakannya berusia 18 tahun yang menunggang motosikal berasingan datang dari arah Pasir Panjang menuju ke Sungai Besar.

"Ketika kejadian, mangsa yang menunggang Modenas Kriss berada di hadapan, manakala rakannya di belakang.

"Setibanya di lokasi itu, rakan mangsa dikatakan merempuh bahagian sisi kanan motosikal mangsa yang kemudian hilang kawalan lalu terjatuh.

"Pada waktu itu, Proton Wira dipandu lelaki berusia 63 tahun dari arah belakang tidak sempat menekan brek lalu merempuh mangsa bersama motosikal berkenaan," katanya.

Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami parah di kepala.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

"Manakala, rakan mangsa yang cedera di tangan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Kata Nor Azmi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 12:30 PM