AYAM yang mati dan hidup sudah disembelih ditinggalkan di lantai. FOTO Faliq Lajim
AYAM yang mati dan hidup sudah disembelih ditinggalkan di lantai. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


BELA ikan di tengah-tengah pasar dan ayam hidup disembelih dengan cara yang meragukan.

Itu situasi dilihat di Plaza Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang didominasi warga asing yang menjalankan perniagaan.

Tinjauan NSTP mendapati bukan sekadar membela ikan di tengah pasar, peniaga warga asing juga mencampak ikan yang masih hidup ke lantai dengan kuat untuk mematikannya serta penjualan ayam pula menimbulkan keraguan status halal apabila ia disembelih sebelum dicampakkan di dalam bekas untuk dilemaskan.

Ayam yang mati dicampakkan ke lantai. FOTO Faliq Lajim
Ayam yang mati dicampakkan ke lantai. FOTO Faliq Lajim

Ketua Komunikasi Clean Malaysia Movement (CMM), Zahir Khan Mohamed Ali berkata, pihaknya mendapat laporan melalui penduduk tempatan serta peniaga mengenai dominasi warga asing di plaza itu.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan kebanyakan warga asing itu berniaga menggunakan lesen warga tempatan.

“Mereka akan lari bersembunyi meninggalkan gerai apabila mengesan kehadiran pihak berkuasa yang membuat operasi termasuk kami yang hanya membuat kajian pengumpulan data di sini.

“Kita mendapati ada beberapa gerai dalam keadaan kotor. Malah, kita juga turut menjumpai struktur kolam ikan serta ayam dan itik disembelih di dalam kawasan gerai,” katanya.

ZAHIR Khan menunjukkan ikan yang ditangkap di dalam struktur kolam yang dibina di dalam pasar. FOTO  Faliq Lajim
ZAHIR Khan menunjukkan ikan yang ditangkap di dalam struktur kolam yang dibina di dalam pasar. FOTO Faliq Lajim

Beliau berkata, susulan itu pihaknya akan menghantar semua maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan lain-lain lagi dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, sebarang aktiviti penyembelihan ayam, itik dan unggas dalam gerai di pasar adalah dilarang.

"Jika ada, pihak MBSA boleh menarik lesen kepada peniaga yang melakukannya.

"Tindakan boleh diambil menggunakan peruntukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pasar MBSA 2007," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, membina struktur tanpa kelulusan pihak MBSA termasuk kolam ikan memang tidak dibenarkan di dalam pasar dan pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pemiliknya mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 3:41 PM