H'NG menunjukkan klip video  peniaga yang mengamuk selepas barang perniagaannya dirampas penguat kuasa MPSP kerana tidak mempunyai lesen tapak berniaga di Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
H'NG menunjukkan klip video peniaga yang mengamuk selepas barang perniagaannya dirampas penguat kuasa MPSP kerana tidak mempunyai lesen tapak berniaga di Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: “Kami bukan setakat diacu pisau, malah dimaki hamun peniaga berkenaan ketika mengangkat meja, kerusi serta buah-buahan dirampas,” kata seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang diacu pisau dalam kejadian di Pasar Awam Taman Berjaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi, dua penjual buah mengacukan pisau ke arah pihak berkuasa selepas barang jualan mereka dirampas kerana berniaga tanpa lesen serta diletakkan di kawasan larangan berjaja.

Anggota berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia dan beberapa rakannya ketika itu menjalankan operasi pelesenan di kawasan pasar awam berkenaan sebelum melihat peniaga terbabit berniaga di kawasan tidak dibenarkan.

“Kami menghampiri mereka dan memberitahu kawasan itu tidak dibenarkan berniaga namun dua lelaki itu tidak mengendahkan arahan kami.

“Ada beberapa peniaga lain di kawasan larangan menjaja di situ namun mereka mengemas barang jualan sebaik kami tiba di situ. Tetapi, peniaga buah berkenaan masih meneruskan perniagaan dan tidak menghiraukan kami,” katanya.

Menurutnya, penguat kuasa merampas meja, kerusi serta buah-buahan dijual peniaga terbabit sebelum kedua-duanya mula memaki hamun dan mengacukan pisau ke arah penguat kuasa.

Katanya, ketika lori hendak bergerak, lelaki berkenaan marah dan naik ke atas lori MPSP dan cuba menurunkan barang mereka ke bawah.

“Selepas itu mereka berbual dengan anggota MPSP sambil memegang pisau dapur berukuran lebih kurang satu kaki sebelum ditahan pihak MPSP dan polis,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSP, H’ng Mooi Lye berkata, perkara sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana peniaga tidak mempunyai lesen seharusnya menghormati peniaga mempunyai lesen di situ.

“Tindakan mereka berniaga di kawasan berkenaan tanpa lesen serta di tapak tidak dibenarkan dianggap mencabar pihak berkuasa yang menjalankan operasi di situ.

“Peniaga bersebelahan mereka yang menyedari kehadiran kami daripada awal mengemas barang jualan namun dua peniaga itu ingkar dan terus berniaga seolah-olah mahu mencabar MPSP,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat tapak perniagaan sah di pasar berkenaan dan peniaga boleh memohonnya di pejabat MPSP untuk berniaga secara sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 10:22 AM