NOOR Rashid ketika hadir pada majlis Perbarisan Paluan Berundur di PULAPOL. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
NOOR Rashid ketika hadir pada majlis Perbarisan Paluan Berundur di PULAPOL. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Azam Shah Yaacob


KIRA-KIRA 2,000 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadiri Majlis Paluan Berundur Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam majlis yang bermula kira-kira 5 petang itu, Noor Rashid turut diberi penghormatan terakhir memimpin Pancaragam Pusat PDRM yang mendendangkan lagu ‘Soldier of Fortune’ yang dipopularkan oleh kumpulan Deep Purple.

Bagaimanapun, suasana sedikit sebak ketika beliau bersalaman dengan pegawai kanan polis yang hadir termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang kemudian mengiringi serta mengarak beliau menggunakan kenderaan istiadat polis bersama keluarga.

Noor Rashid memulakan karier dalam pasukan polis sejak 8 Januari 1984 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP) dan mendapat latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu.

Beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting seperti Timbalan Pengarah III Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman antara 2004 hingga 2006; Timbalan Pengarah II Logistik (2006); Timbalan Pengarah III JSJN Bukit Aman (2006 hingga 2007); Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah (2007) dan Pesuruhjaya Polis Sabah (2007 hingga 2010) sebelum dilantik sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman pada 20 Oktober 2010.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara 1 Disember 2014 dan hari ini adalah hari terakhir beliau bersara wajib selepas berkhidmat dalam PDRM hampir 35 tahun.

Jawatan beliau dipangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Hamid Bador buat sementara waktu berkuat kuasa hari ini.

Upacara serah terima tugas antara Noor Rashid dan Abdul Hamid berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, PULAPOL Kuala Lumpur turut disaksikan oleh Mohamad Fuzi.

Mohamad Fuzi dalam ucapan ketika majlis itu turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Noor Rashid atas khidmat bakti serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada PDRM.

“Noor Rashid ibarat sebutir bintang yang begitu bersinar dalam PDRM.

“Atas dedikasinya, beliau diberi kepercayaan menyandang pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN), Pesuruhjaya Polis Sabah sebelum mengakhiri khidmat baktinya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:53 PM