Kuala Lumpur: “Saya akan mengekalkan budaya kerja kuat dan meneruskan momentum kecemerlangan bagi mengharumkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” itu ikrar dilafazkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim yang dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Noor Rashid, 56, dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin yang bersara wajib pada 7 September lalu.

Beliau berkata, pelantikannya itu adalah bagi membantu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memimpin PDRM dalam era penuh cabaran.

“Pelantikan ini adalah satu amanah yang perlu saya pikul. Saya akan bekerja dengan lebih kuat,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya kepada media semalam berkata, pelantikan itu selaras dengan peruntukan fasal (4) dan (5), Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Pelantikan beliau (Noor Rashid) adalah berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, kompetensi, dan ciri kepemimpinannya untuk meneruskan tanggungjawab dan kesinambungan dalam menerajui pasukan ke arah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Noor Rashid yang berasal dari Yan, Kedah, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Fizik dari Universiti Malaya (UM) memulakan perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) pada 8 Januari 1984.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Siasatan Jenayah Daerah Sungai Petani, Pegawai Turus Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengarah III, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Timbalan Pengarah II (Logistik/Teknologi Maklumat), Jabatan Logistik Bukit Aman dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sebelum menjawat jawatan sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 8:44 AM