MOHAMAD Fuzi (kanan) berbincang sesuatu dengan Mohmad yang bersara hari ini. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Fuzi (kanan) berbincang sesuatu dengan Mohmad yang bersara hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Azam Shah Yaacob


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh bersara wajib hari ini selepas lebih 35 tahun berkhidmat.

Jawatannya kini dipangku Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Majlis serah terima tugas antara Mohmad dan Kamarul disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam Majlis Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, persaraan Mohmad satu kehilangan besar bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki membolehkannya memimpin pasukan dengan baik.

“Saya percaya ramai warga PDRM terutama berkhidmat di bawah seliaannya akan merindui keperibadian beliau yang tampak bersahaja tetapi tegas ketika memimpin pasukan.

“Kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas menyerlahkan aura kepimpinan beliau sekali gus membolehkan visi jabatan di bawah pimpinannya dapat ditetap serta dijalankan dengan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Mohmad berkata, antara kes yang tidak dapat dilupakan adalah pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais ketika beliau menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Katanya, ia antara kes paling diingati biarpun setiap jawatan yang disandang mempunyai cabaran tersendiri.

“Cabaran memang berbeza, sebagai contoh ketika menjawat jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, ketika itu banyak berlaku perhimpunan Bersih.

“Bila mengetuai JSJ Bukit Aman pula, yang paling saya ingati membabitkan kes Kevin Morais dan di JSJN pula cabarannya lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 4:05 PM