Mohamad Fuzi Harun menyaksikan Noor Rashid (kiri) membuat pertukaran dokumen serah tugas kepada Abdul Hamid (kanan). FOTO Hafiz Sohaimi
Mohamad Fuzi Harun menyaksikan Noor Rashid (kiri) membuat pertukaran dokumen serah tugas kepada Abdul Hamid (kanan). FOTO Hafiz Sohaimi
Norizuan Shamsuddin


PENGARAH Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik pemangku Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara wajib Ahad ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya yakin Abdul Hamid akan memikul amanah diberikan dengan cemerlang dan dapat memacu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharungi apa jua cabaran pada masa akan datang.

“Saya yakin sahabat lama ini akan meneruskan legasi kerana kita bekerja bukan kepentingan diri tetapi demi menjaga amanah diberi.

“Bagi pihak pasukan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri (Noor Rashid) yang menaburkan khidmat bakti serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada PDRM.

“Noor Rashid ibarat sebutir bintang yang begitu bersinar dalam pasukan apabila beliau diberi kepercayaan menyandang pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN), Pesuruhjaya Polis Sabah dan sebagainya sebelum mengakhiri khidmat baktinya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis sama, Mohamad Fuzi turut menyaksikan penyerahan dokumen Naib Pengerusi PERKEP antara Puan Sri Shahriza Saad@Mansor kepada Datin Seri Nor Azrin Marzuki.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya berterima kasih kepada Shahriza yang menerajui kepemimpinan PERKEP dengan cemerlang.

“Dia juga memangku jawatan Pengerusi PERKEP Malaysia selepas arwah isteri saya yang tercinta meninggal dunia pada 15 Disember 2016.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Puan Sri (Shahriza) akan terus kekal dalam lipatan sejarah PERKEP Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:44 PM