Persembahan Mak Yong akan diteliti kerajaan negeri. FOTO Arkib NSTP
Persembahan Mak Yong akan diteliti kerajaan negeri. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


KERAJAAN negeri akan membenarkan persembahan tarian tradisional Mak Yong di Kelantan sekiranya mematuhi syariat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti dan menilai setiap aspek persembahan Mak Yong.

“Kita akan cuba (memberi kebenaran kepada persembahan Mak Yong). Kita bentuk jawatankuasa untuk nilai perkara yang patuh syariah (dalam Mak Yong).

“Itu peringkat dia sekarang (menilai Mak Yong). Bukan pertunjukan di depan panel lagi tapi baru di peringkat jawatankuasa.

“Wayang Kulit dah lama kita benarkan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Bharu, hari ini.

Hari ini, Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Karima Bennoune dilaporkan desakan untuk kerajaan memperbaiki hak berbudaya di Malaysia berikutan masih ada sekatan terhadap sesetengah acara seni dan budaya seperti Mak Yong dan Wayang Kulit di Kelantan.

Karima dilapor berkata, sebelum ini beliau sudah menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu kepada kerajaan terdahulu tetapi ia masih belum dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:40 PM