Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Mewarisi bakat membuat patung wayang daripada ayahnya, seorang lelaki nekad mahu bagi memulihara seni warisan itu.

Zawawi Jusoh, 51, berkata, dia menghasilkan pelbagai watak patung wayang kulit tradisional yang dipelajari daripada arwah ayahnya, Jusoh Mamat ketika berusia 12 tahun.

Katanya, antara watak yang dihasilkannya termasuklah Maharajawana, Seri Rama, Sita Dewi, Laksamana, Hanuman Kera Putih dan Wak Dogo.

"Patung wayang kulit yang dihasilkan bukan saja untuk persembahan kumpulan saya, tetapi ada juga pelanggan yang menempahnya dan kebiasaannya patung wayang kulit 'fushion' mendapat tempahan tinggi di bandar besar.

"Wayang kulit 'fushion' menggabungkan unsur tradisi dan moden untuk tarikan orang muda termasuk menukar jalan cerita kepada sains fiksyen seperti Star Wars, dan Batman," katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, sebelum menghasilkan watak setiap patung wayang kulit, dia akan menggunakan pola patung milik arwah ayahnya.

"Bersesuaian dengan permintaan semasa, saya juga mengubah watak patung wayang kulit dengan melukis semula pola patung wayang kulit mengikut kehendak pelanggan.

"Patung wayang kulit yang saya hasilkan ini dijual pada harga RM100 hingga RM600 bergantung kepada watak.

"Ia berbaloi kerana proses pembuatannya mengambil masa lama sehingga seminggu selain memerlukan kemahiran seni untuk dengan ukiran yang sangat halus," katanya.

ZAWAWI menunjukkan antara watak patung wayang kulit yang dihasilkannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ZAWAWI menunjukkan antara watak patung wayang kulit yang dihasilkannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Zawawi berkata, mungkin proses pembuatan patung wayang kulit yang agak rumit menyebabkan tidak ramai anak muda yang mahu mempelajari kemahiran berkenaan.

"Bagaimanapun, bagi memulihara warisan ini, saya mengalu-alukan jika ada individu yang mahu mempelajarinya kerana tidak mahu seni budaya wayang kulit ini hilang ditelan zaman," katanya.

Menurutnya, dia menjelajah ke beberapa negara dunia bagi memenuhi jemputan persembahan seni wayang kulit.

"Antara negara-negara yang sudah saya jelajah bagi memperkenalkan seni warisan Kelantan termasuklah Jerman, Austria, Bangkok, China dan Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 12:36 PM