PERSEMBAHAN Mak Yong di KLPac. FOTO Salhani Ibrahim
PERSEMBAHAN Mak Yong di KLPac. FOTO Salhani Ibrahim
Muhamaad Razis Ismail


KERAJAAN Kelantan bersedia membenarkan persembahan tarian tradisional Mak Yong sekiranya mematuhi syariah ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata, kerajaan negeri mempunyai barisan penilaian terdiri daripada ulama dan mufti bagi menilai tarian itu.

“Jika menepati syariah, kita tidak mempunyai halangan, namun jika gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, ia tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, persembahan tradisional Wayang Kulit sudah lama kita benarkan. Bagaimanapun penceritaannya perlu difahami mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohd Syahbuddin Hashim (BN- Galas) yang bertanyakan pendirian kerajaan negeri terhadap gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu tarian Mak Yong dan Wayang Kulit dibenarkan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) mengenai kerjasama kerajaan negeri antara Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) dan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (JKKW) Kelantan, Md Anizam berkata kerjasama yang terjalin amat baik.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelapor PBB, Karima Bennounce menggesa Kelantan untuk membatalkan larangan ke atas Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu.

Katanya, Malaysia terkenal dengan persembahan dan amalan tradisional yang luar biasa dan amat memalukan jika budaya itu diharamkan di negeri asal ia dilahirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 11:55 AM