ALOR SETAR 18 OGOS 2022.Nur Afiqa Che Ya, 20 (kiri) dan rakannya Nur Syahida Mahadi, 20, (kanan) bersama guru mereka dari SMK Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang mendapat keputusan (PNGK) 4.0 dalam STPM 2021.NSTP/Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR 18 OGOS 2022.Nur Afiqa Che Ya, 20 (kiri) dan rakannya Nur Syahida Mahadi, 20, (kanan) bersama guru mereka dari SMK Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang mendapat keputusan (PNGK) 4.0 dalam STPM 2021.NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pernah berasa putus harapan selepas kematian bapa pada 27 Ramadan lalu, keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini akhirnya mengubah hidup gadis ini.

Nur Afiqa Che Ya, 20, berkata, selepas kematian bapanya akibat jangkitan kuman dalam darah dia agak tertekan memikirkan nasib keluarganya kerana mereka hanya bergantung kepada arwah bapanya itu yang bekerja di sebuah kilang gula.

"Ibu saya hanya seorang suri rumah manakala kakak sulung saya seorang orang kurang upaya (OKU), jadi saya menjadi harapan keluarga untuk berjaya dan mengubah nasib keluarga.

"Dua adik saya masih bersekolah, saya selalu fikir bagaimana hendak cari duit dan membantu adik belajar. Sebelum ayah 'ditidurkan', arwah ada pesan supaya saya belajar rajin-rajin, semua itu membuatkan saya agak tertekan apatah lagi saya akan menghadapi peperiksaan semester selepas Aidilfitri, namun kejayaan ini mengubah segala-galanya," katanya yang yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang.

Nur Afiqa ditemui selepas mengambil keputusan STPM di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin di Hutan Kampung di sini, hari ini.

Dia mendapat keputusan semua A dalam subjek Pengajian Am, Sejarah, Kesusasteraan Melayu Komunikatif dan Bahasa Melayu.

Mengimbas persediaannya sebelum peperiksaan STPM, anak kedua daripada empat beradik ini berkata, dia kembali bersemangat untuk belajar dan mengejar cita-citanya sebagai pendidik selepas mendapat pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk mereka sekeluarga.

"Saya selalu ingat pesan ayah, setiap hari selepas tamat kelas, saya dan rakan akan belajar dalam kumpulan sehingga 4 petang untuk kukuhkan pemahaman kami dalam pelajaran, kemudian malam saya akan mengulang kaji pelajaran selama sejam sebelum tidur.

"Dalam masa yang sama saya tidak pernah lupa untuk solat hajat setiap kali selepas solat fardu, saya mohon kepada Allah supaya mudahkan urusan saya dalam segala hal," katanya yang tinggal di Kampung Tong Pelu, Padang Terap.

Sementara itu, bagi rakan sekelasnya yang turut mencatatkan keputusan yang sama, Nur Syahida Mahadi, 20, dia sangat bersyukur apabila mendapat keputusan cemerlang dalam STPM selepas mencatat keputusan yang kurang memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Setiap kali berjaga malam untuk ulang kaji pelajaran, ibu saya akan menemani saya di dalam bilik, saya tidak ikut keluarga pergi berjalan-jalan, hampir setiap waktu saya akan pegang buku.

"Saya rasa setiap pengorbanan saya akhirnya berbaloi, sekarang saya sangat berharap dapat memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjadi guru satu hari nanti," katanya yang tinggal di Kampung Banggol , Padang Sanai, di Padang Terap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 5:53 PM