Helmi (berdiri tiga dari kiri) melihat sebahagian 51 individu yang ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan Langkawi FM
Helmi (berdiri tiga dari kiri) melihat sebahagian 51 individu yang ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan Langkawi FM
Hamzah Osman


ENAM belas orang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori dalam Ops Sarang di Langkawi, hari ini.

Mereka itu antara 51 individu termasuk tiga wanita berusia 23 hingga 56 tahun ditahan polis atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam operasi terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah Superintendan Helmi Aris berkata, kesemua tangkapan itu dilakukan pihaknya di kawasan pengedaran dadah jalanan.

Menurutnya, operasi itu disertai empat pegawai dan 90 anggota JSJN Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

"Ops Sarang bermula sejak 12 tengah malam tadi dan dalam tempoh 12 jam, kita sudah lakukan serbuan sekitar Kampung Bukit Malut, Kuala Teriang, Ayer Hangat dan Taman Nilam.

"Kita yakin jumlah yang akan ditahan bertambah apabila Ops Sarang ini berakhir esok," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim.

Helmi berkata, dalam operasi sama jumlah dadah yang dirampas adalah heroin seberat 161 gram (g), syabu (28.51 g) dan air ketum sebanyak tiga liter.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula esok di lokap IPD Langkawi untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:41 PM