GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suzalina Halid

POLIS menahan tiga individu termasuk seorang janda berusia 31 tahun disyaki pengedar dadah sebelum merampas lebih empat kilogram (kg) heroin bernilai kira-kira RM80,000 dalam serbuan yang dijalankan di Guar Chempedak, Alor Setar, kelmarin.

Serbuan hasil maklumat risikan itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah pada jam 11.30 malam di kawasan letak kereta Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak.

Ketua JSJN Kedah, Superintendan Helmi Aris berkata, melalui serbuan itu, polis berjaya mematahkan cubaan tiga suspek terbabit mengedar dadah selepas menahan sebuah Perodua Myvi dinaiki mereka dengan pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui heroin seberat 4,551 gram di atas kusyen tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan atas kusyen tempat duduk belakang kereta itu menjumpai sebuah beg plastik bertulis ‘baby like’ yang membawa kepada penemuan heroin seberat 4,551 gram dengan anggaran nilai pasaran dadah dirampas ialah RM80,000.

“Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berusia 31 hingga 40 tahun itu positif methamphetamin dengan mereka semua mempunyai rekod lampau membabitkan beberapa kes jenayah, ” katanya dalam kenyataan media.

Helmi berkata, dua suspek termasuk seorang janda itu dipercayai tidak bekerja dan mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah.

Katanya, seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai bekerja sebagai buruh itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes pecah masuk dan merompak.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 10:29 AM