BERUK yang ditangkap di SRA Parit 9. FOTO Ihsan Bomba
BERUK yang ditangkap di SRA Parit 9. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


SUASANA di Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 9, Sekinchan, gempar apabila seekor beruk jantan ditemui dalam tandas sekolah itu, kelmarin.

Dalam kejadian 2 petang itu, haiwan berkenaan dikatakan sesat dan masuk tandas lelaki yang terletak di tingkat atas bangunan sekolah dua tingkat yang menempatkan kira-kira 200 murid.

Difahamkan, kehadiran monyet itu disedari seorang murid yang mahu menggunakan tandas dan memaklumkannya kepada guru.

Guru Besar sekolah itu, Siti Azlina Ngali berkata, kejadian haiwan memasuki tandas kali pertama berlaku di sekolah berkenaan.

“Pengurusan sekolah pelik haiwan liar itu berada dalam kawasan berkenaan kerana ia berada berdekatan sawah padi dan bukannya habitat asal.

“Bimbang ia bertindak agresif, saya segera menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

“Mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku dan beruk itu berjaya ditangkap,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Syafarin Jais berkata, sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan 2.41 petang.

“Setibanya di lokasi, beruk jantan itu didapati masih berada dalam tandas dan kita terpaksa berhati-hati bagi mengelak haiwan itu bertindak agresif.

“Anggota kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap beruk itu menggunakan penjerut dan teknik serkupan kain sebelum dilepaskan ke habitat asalnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 10:28 AM