BOT pukat tunda asing ditahan di kawasan berhampiran perairan Tinagat. FOTO Ihsan PMM
BOT pukat tunda asing ditahan di kawasan berhampiran perairan Tinagat. FOTO Ihsan PMM
Abdul Rahemang

SEBUAH bot nelayan asing bersama enam warga Indonesia ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan larangan berhampiran perairan Tinagat, dekat Tawau, kelmarin.

Bot pukat tunda itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas dikesan menjalankan aktiviti memukat di kawasan kurang dua batu nautika dari pantai, kira-kira 9.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika ditahan nelayan asing leka menjalankan aktiviti menunda sehingga tidak menyedari kehadiran anggota PPM.

“Juragan warga Indonesia berusia 30-an bersama lima kru warga negara sama ditahan dan hasil tangkapan kira-kira 80 kilogram ikan pelbagai jenis turut dirampas,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, remaja lelaki warga tempatan ditahan ketika cuba menyeludup keluar dua tong gas petroleum cecair (LPG) di kawasan perairan Ice Box, dekat Tawau, kelmarin.

Remaja berusia 17 tahun itu yang menaiki sebuah bot dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan oleh anggota PPM Tawau untuk pemeriksaan pada jam 9.30 pagi.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan awal mendapati, remaja itu mengaku mahu menjual LPG terbabit di Indonesia melalui Pulau Sebatik.

“Tangkapan dan rampasan yang dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 10:03 AM