BOT nelayan berkenaan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
BOT nelayan berkenaan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


TINDAKAN pantas Pasukan Polis Marin (PPM) menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia selepas bot mereka dihanyutkan sehingga memasuki kawasan perairan Malaysia di Laut Tanjung Saima, dekat Tawau, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata. sepasukan empat pegawai dan anggota bot ronda PGR 2 PPM Tawau digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kira-kira 10 pagi.

“Beberapa minit selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan, pasukan berjaya mengesan dua bot nelayan bersama empat lelaki dalam keadaan selamat.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa berasal dari Kampung Sungai Nyamuk, Sebatik (Wilayah Indonesia). Mereka berusia antara 35 hingga 70 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Pajeri lagi, ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan Indonesia sebelum dipukul ombak besar sehingga hanyut dan melepasi kawasan sempadan perairan negara.

Susulan itu, semua mangsa bersama bot masing-masing kemudian ditunda dan diiring ke jeti Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Mangsa akan diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia hari ini dalam satu acara ringkas di kawasan sempadan perairan negara dekat Sungai Nyamuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:36 AM