Kuala Lumpur: Pemain industri dalam segmen mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu merebut peluang kerjasama bukan saja sesama pengusaha tempatan tetapi di sekitar negara ASEAN bagi membolehkan kelangsungan produk mereka ke serata ASEAN.

Ia dilihat sebagai kaedah dan langkah yang efektif bagi memastikan posisi perniagaan berkembang selain membolehkan mereka menguasai pasaran rantau.

Difahamkan ketika ini sudah ada 60 juta entiti ini berdaftar di sekitar ASEAN meliputi antara 95 hingga 99 peratus populasi terbabit.

Ahli Dewan ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) Datuk Ramesh Kodammal berkata, momentum sedemikian akan membantu menggerakkan industri PKS dan mikro lebih maju berbanding prestasi sedia ada.

Katanya, pemain industri perlu meletakkan sasaran baru dalam memajukan ekonomi negara dan berani mengambil risiko.

“Ia adalah konsep atau idea yang wajar digunapakai bagi membantu mengekang apa jua halangan yang dihadapi termasuk risiko memasuki pasaran asing,” katanya pada sidang media Persidangan ‘ASEAN-BAC Malaysia on SMEs dan Asean Economic Community (AEC), semalam.

Hadir sama Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Dr Munir Majid.

Sementara Dr Munir berkata, isu yang dikemukakan kebanyakan pemain industri sektor swasta di sekitar ASEAN adalah kesukaran untuk mendapatkan pasaran yang bebas dan terbuka selain PKS dan mikro yang belum bersedia sepenuhnya ke atas isu terbabit.

Katanya, tidak semua PKS dan mikro akan mendapat manfaat daripada populasi 600 juta di ASEAN dan juga Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan ini perlu diambil kira.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:04 AM