NAJIB berpegang tangan bersama pemimpin negara ASEAN (dari kiri) Lee Hsien Loong, Prayut Chan Ocha, Nguyen Tan Dung, Thongsing Thammavong, Thein Sein, Hassanal Bolkiah, Hun Sen, Joko Widodo dan Benigno Aquino III sebagai simbolik tradisi ASEAN sempena pelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26.
NAJIB berpegang tangan bersama pemimpin negara ASEAN (dari kiri) Lee Hsien Loong, Prayut Chan Ocha, Nguyen Tan Dung, Thongsing Thammavong, Thein Sein, Hassanal Bolkiah, Hun Sen, Joko Widodo dan Benigno Aquino III sebagai simbolik tradisi ASEAN sempena pelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Inilah ASEAN sebenarnya, ketika ini dan di sini, dengan proses pembinaan komuniti dan integrasi ekonomi disuburkan untuk menjadikan ASEAN yang inklusif, berani serta melihat ke depan untuk perkumpulan itu juga warganya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam menekankan bahawa 2015 akan menjadi sejarah kejayaan ASEAN apabila visinya untuk mewujudkan komuniti tunggal menjadi kenyataan menjelang akhir tahun.

“Inilah ASEAN sebenarnya, ketika ini dan di sini. Marilah kita bekerja bersama-sama memastikan apabila kita bercakap mengenai alaf Asia, ia juga alaf ASEAN,” katanya.

Hadir sama, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; dan Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.

Turut hadir Perdana Menteri Kemboja Hun Sen; Presiden Indonesia Joko Widodo; Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong; Presiden Myanmar U Thein Sein; Presiden Filipina Benigno Aquino III; Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-Ocha; dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang bermula semalam bertema ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’ berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi.

Malaysia yang menjadi tuan rumah kali keempat sebelum ini mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN masing-masing pada 1977, 1997 dan 2005.

Detik bersejarah turut dicipta dengan pelancaran GOASEAN, saluran kembara berfokuskan ASEAN yang pertama di dunia oleh Najib.

Najib berkata, semasa Malaysia memegang keistimewaan untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun yang penting untuk organisasi itu, kumpulan serantau ini perlu meneruskan usaha mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Beliau menegaskan sekarang adalah masa untuk blok 10 anggota itu mencari jalan supaya ASEAN menjadi dan dilihat lebih sepakat dalam politik.

“Pelabur antarabangsa sudah lama tertarik ke India dan China. ASEAN boleh dan wajar meletakkan dirinya sebagai kuasa ketiga di rantau ini dan dengan kesepaduannya yang nampak jelas, dapat membantu kita menjayakannya,” katanya.

Menyentuh mengenai cadangan zon waktu seragam, Najib berkata, jika idea itu diterima ASEAN, ia merupakan simbol perpaduan ASEAN selain baik untuk perniagaan.

“Tambahan pula, potensi kita sangat besar. Kita mempunyai tenaga kerja ketiga terbesar di dunia. Kita mempunyai tenaga muda berbakat dan bilangan penduduk mahir yang semakin meningkat, melebihi 600 juta orang.

“Bilangan penduduk kelas pertengahan yang semakin meningkat menjadikan kita antara rantau paling dinamik dan menarik mendorong sebuah penerbitan pada minggu lepas bertanyakan sama ada ASEAN merupakan ‘pelaburan paling panas’ di Asia,” katanya.

Najib berkata, berikutan halangan perdagangan oleh Komuniit Ekonomi Asean (AEC) dimansuhkan, ia turut meliputi pengurangan tarif.

“Ia mesti meliputi pemansuhan halangan bukan tarif seperti peraturan yang terlalu membebankan yang menjejaskan perdagangan bebas dan saksama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:51 AM