Cikgu Zulkifli mengadakan pameran fotografi di Galeri Sejarah KKB. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Cikgu Zulkifli mengadakan pameran fotografi di Galeri Sejarah KKB. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohamad Hussin


“SAYA menghabiskan masa selama dua bulan untuk meneroka dalam kawasan hutan bagi mendapatkan gambar pelbagai spesies burung yang terdapat di alam ini.

“Hasil karya ini saya terjemahkan dalam pameran fotografi bagi memberi inspirasi kepada orang ramai,” kata pesara guru, Zulkifli Din, 60, yang sudah berkecimpung dalam dunia fotografi sejak 1980.

Kini Cikgu Zulkifli sedang mengadakan Pameran Fotografi Burung-Burung Kuala Kubu Bharu (KKB) dan Bukit Fraser di Galeri Sejarah di Jalan Syed Mashor, KKB sehingga 30 Mac ini.

Menurutnya, dia sudah membuat kajian mendalam mengenai spesies burung sebelum pergi ‘memburu’ untuk mendapatkan sudut yang terbaik.

“Saya meneroka isi alam selama dua bulan bagi mendapatkan seberapa banyak gambar spesies burung yang terdapat di kawasan kaki Bukit Kutu dan di Lata Jeriau, Bukit Fraser.

“Saya turut menyusuri kawasan lombong dan Sungai Selangor kerana terdapat spesies burung yang sedang mencari makanan.

“Pergerakan saya menjadi amat mudah kerana sudah tahu lokasi sesuatu spesies itu berada.

“Lebih 100 koleksi gambar burung yang dipamerkan dalam pameran ini dan semuanya berkisarkan tentang spesies burung yang terdapat di alam ini,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengunjung yang hadir ke pameran fotografi Cikgu Zulkifli di Galeri Sejarah KKB. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Pengunjung yang hadir ke pameran fotografi Cikgu Zulkifli di Galeri Sejarah KKB. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Pameran berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Sejarah Kuala Kubu serta Persatuan Seni & Sastera Malaysia.

Menurutnya, antara koleksi gambar burung yang dipamerkannya dari spesies burung but-but, rimba telinga perak, enggang kelingking, kelisak bakau, matahari kelabu, kelicap mayang kelapa, belatuk pinang muda dan berek-berek tadah hujan.

“Selain itu, burung sepah putri merah, kelicap bukit, rimba genting, kelicap jantung gunung, sambar besar, sibia ekor panjang, ceriwit duit-duit, pakur api, punai kocok atau daun.

“Gambar burung dendang selayang, sesawi sawai, merbah kapur, merbok, keruak, puchong serandau, puchong kuak dan ayam-ayam,” katanya.

Cikgu Zulkifli berkata, dia banyak belajar teknik mengambil gambar daripada rakan fotografi selain mendapatkan ilmu pengetahuan daripada majalah fotografi tempatan dan luar negara.

"Teori semua orang boleh belajar tetapi untuk pengalaman kita perlukan bahan sebenar dan menghadapinya sendiri. Dari situ, baru ada kepuasan diri sendiri.

“Minat mendalam terhadap fotografi alam semula jadi disebabkan kerana penyakit jantung yang saya alami pada 2010.

“Selepas menjalani pembedahan jantung, doktor menasihatkan saya supaya meneruskan aktiviti fotografi sebagai terapi untuk menghilangkan tekanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:37 PM