ZULKIFLI Din berlindung dicelah pokok sambil melihat pergerakkan burung.
ZULKIFLI Din berlindung dicelah pokok sambil melihat pergerakkan burung.
Hafiz Ithnin

Menunggu selama lima hari di dalam hutan, berdepan dengan haiwan liar dan berbisa sertabpaling di luar jangka pastinya melalui pengalaman diganggu makhluk halus antara perkara yang biasa dilalui pesara guru ini.

Semuanya demi membidik gambar burung yang mendiami sesuatu lokasi dan ingin didokumentasikan bagi memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai spesies yang ditemuinya

Bagi Zulkifli Din, 62, yang mula bergiat aktif untuk membidik gambar berkonsepkan burung liar sejak 2017 sememangnya memberi kepuasan tersendiri kepadanya yang berkecimpung dalam dunia fotografi bermula 1971.

Lebih mesra disapa Cikgu Zul tidak dinafikan fotografi membabitkan dunia unggas memerlukan peminatnya bukan sahaja bijak dari segi teknikal malah mempunyai pengetahuan mengenai habitat haiwan berkenaan.

"Sebenarnya saya adalah guru dalam bidang pendidikan seni dan dunia fotografi ini sudah sebati dengan jiwa kerana sejak sekolah lagi sekitar 1971 saya mula minat 'bermain' dengan seni kreatif yang dihasilkan bidikkan lensa kamera.

"Jadi, saya sudah lama memasang hasrat untuk mempunyai sebuah buku mengenai dunia unggas hasil bidikkan kamera saya sebaik sahaja bergelar orang pencen kerana ia memerlukan pengorbanan masa," katanya.

BERLINDUNG dicelah pokok sambil melihat pergerakkan burung menggunakan teropong.
BERLINDUNG dicelah pokok sambil melihat pergerakkan burung menggunakan teropong.

Mengulas mengenai cabaran mendapatkan potret terbaik unggas yang dibidiknya dari kamera peribadi, katanya, terdapat banyak cabaran terutama apabila perlu berada di dalam hutan dalam tempoh masa yang lama. Seperti yang dinyatakan tadi, antaranya berdepan dengan haiwan liar dan berbisa selain pernah diganggu makhluk halus.

"Saya masih ingat ketika ingin mendapatkan satu spesies unggas di sesebuah negeri ini, saya perlu bermalam selama beberapa hari dan ketika balik saya rasa keadaan kesihatan agak terganggu seolah-olah kepala terasa besar, pipi terasa kebas dan tidak seimbang.

"Jadi, saya pergi berjumpa dengan doktor dan didapati kesihatan saya baik. Kemudian saya mendapatkan rawatan tradisional dan dikatakan saya sebenarnya disapa 'makhluk' di dalam hutan," katanya.

KEPANTASAN dan kebijaksanaan dalam fotografi penting bagi merakam  unggas liar.
KEPANTASAN dan kebijaksanaan dalam fotografi penting bagi merakam unggas liar.

Tambahnya lagi, untuk mendapatkan foto unggas liar di dalam hutan bukan sesuatu yang mudah kerana kadang-kala haiwan itu tidak berada di kawasan perkhemahan. Keadaan itu memaksa Cikgu Zul untuk berada di luar trek.

"Berjumpa dengan haiwan liar ketika di luar trek seperti gajah dan ular juga adalah perkara biasa jadi, saya dan rakan-rakan yang mempunyai minat sama perlu mempunyai keberanian ketika berdepan dengan situasi bertembung dengan haiwan berkenaan.

"Kita perlu saling menghormati ketika berada dalam hutan kerana kitalah pendatang di habitat hidupan berkenaan

dan sentiasa memasang niat yang baik ketika berada di sana," katanya.

Lokasi yang paling menjadi tumpuan Cikgu Zul mencari unggas untuk diabadikan di dalam buku yang bakal dilancarkan sekitar Disember ini pastinya di Kuala Kubu Bharu, Selangor kerana dia tinggal di daerah itu.

PASANGAN burung Enggang memberi makan kepada anaknya didalam batang pokok antara yang sempat dirakam.
PASANGAN burung Enggang memberi makan kepada anaknya didalam batang pokok antara yang sempat dirakam.

Selain itu, Cikgu Zul juga mencari unggas untuk difotografikan di luar Selangor antaranya Kelantan, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Kedah dan negara jiran, Indonesia.

Katanya, karya hasil bidikan beliau diharap dapat membantu masyarakat lebih mengenali pelbagai jenis unggas yang berada di Malaysia.

"Di Malaysia ini terdapat dua jenis kategori unggas iaitu tempatan dan hijrah iaitu burung dari luar negara yang berhijrah dalam tempoh masa tertentu ke Malaysia.

"Kadang-kala kita selalu dengar orang cakap burung itu warnanya sekian-sekian, bunyinya juga seperti itu dan ini, tetapi kita tidak tahu spesies unggas berkenaan. Jadi, dengan adanya buku ini diharap orang ramai lebih celik mengenai hidupan liar yang berada di negara sendiri," katanya.

ZULKIFLI Din sempena Pemeran Fotografi Burung burung Kuala Kubu Bharu di Galeri Sejarah KKB tahun lalu.
ZULKIFLI Din sempena Pemeran Fotografi Burung burung Kuala Kubu Bharu di Galeri Sejarah KKB tahun lalu.

Cikgu Zul berkata, merakam burung liar juga agak sukar kerana kehadirannya di sesuatu tempat yang dijangka selalunya tidak begitu lama.

Akuinya, mengambil gambar objek bergerak yang stabil memerlukan kelengkapan tambahan iaitu tripod tetapi untuk mengambil foto unggas jurufoto perlu mempunyai kepantasan dan kemampuan tangan yang stabil bagi mengelakkan unggas berkenaan tidak hilang.

"Bahagian tangan terutama jari perlu bergerak pantas dan stabil. Malah, disebabkan itu juga saya disahkan mempunyai masalah saraf di tangan kerana melakukan kerja yang berat dan kerap.

"Bagaimanapun, bagi saya aktiviti ini mempunyai kepuasan dan paling penting ia juga sebagai platform pendidikan," katanya yang aktif turut mengadakan bengkel fotografi.

ZULKIFLI Din (kanan) bersama anaknya Zulfadhli Zulkifli dan sahabatnya Azharul Shah ketika menyertai pertandingan Fotografi burung di Bukit Fraser.
ZULKIFLI Din (kanan) bersama anaknya Zulfadhli Zulkifli dan sahabatnya Azharul Shah ketika menyertai pertandingan Fotografi burung di Bukit Fraser.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 7:01 AM