BP perlu berada dalam keadaan pegun dan senyap. Hanya tangan yang bergerak merakamkan aksi si cantik.
BP perlu berada dalam keadaan pegun dan senyap. Hanya tangan yang bergerak merakamkan aksi si cantik.
ADA ketikanya, mereka perlu memasang khemah sebagai penyamaran di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh, Pahang.
ADA ketikanya, mereka perlu memasang khemah sebagai penyamaran di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh, Pahang.
SUHAIMI bersama rakannya, Abd Rahman Haron di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.
SUHAIMI bersama rakannya, Abd Rahman Haron di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.
KELICAP belukar -jantan ‘ruby-cheeked sunbird’ (Chalcoparia singalensis).
KELICAP belukar -jantan ‘ruby-cheeked sunbird’ (Chalcoparia singalensis).
KELICAP jantung telinga kuning ‘yellow-eared spiderhunter’ (Arachnothera chrysogenys).
KELICAP jantung telinga kuning ‘yellow-eared spiderhunter’ (Arachnothera chrysogenys).
BEREK-BEREK tadah hujan ‘Blue-throated bee-eater’
BEREK-BEREK tadah hujan ‘Blue-throated bee-eater’
PEKAKA bukit - jantan ‘Malay Blue-banded Kingfisher’ (Alcedo peninsulae).
PEKAKA bukit - jantan ‘Malay Blue-banded Kingfisher’ (Alcedo peninsulae).
PACAT bakau ‘mangrove pitta’ (Pitta megarhyncha).
PACAT bakau ‘mangrove pitta’ (Pitta megarhyncha).
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Ketika asyik menatap gambar burung yang terpapar depan komputer, penulis kagum dengan gambar yang dirakam menerusi lensa kamera pemotret burung atau ‘bird photographer’, Sulaiman Salikan, 51, yang memperlihatkan haiwan secara terperinci termasuk bulu pelepahnya.

Untuk mendapatkan keaslian subjek di dalam habitat sebenar dan imej yang berkualiti tinggi, bukanlah satu perkara mudah bagi seorang ‘bird photographer’ (BP).

“Banyak perkara perlu kami lakukan untuk menghasilkan imej terbaik seperti mengkaji spesies dan habitat burung, peralatan, merancang perjalanan ke lokasi dan yang paling penting keinginan, usaha dan semangat yang tinggi bagi menghasilkan imej berkualiti.

“Pengetahuan asas mengenai spesies tumpuan burung, karakter burung, habitat, rutin harian dan masa yang sesuai adalah sangat penting bagi seorang BP.

“Elemen pengetahuan ini adalah faktor utama yang mempengaruhi persediaan alat kelengkapan pemotretan, jadual perjalanan dan persediaan mental dan fizikal kami,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih enam tahun sebagai BP.

Peralatan yang sesuai mengikut spesies tumpuan amat penting bagi memastikan penghasilan imej terbaik. BP memerlukan sekurang-kurangnya satu set peralatan asas iaitu kamera DSLR atau kompak, lensa 300 milimeter, satu set tripod serta satu set kabel atau ‘remote shutter release’.

Selain daripada itu, BP juga memerlukan peralatan tambahan seperti pakaian bercorak mesra alam (camouflage), khemah khas untuk tujuan penyamaran, alat pemain MP3 dan speaker mini untuk memanggil burung.

Peranan BP adalah berbeza daripada tugas seorang pemerhati burung atau ‘bird watcher’ (BW).

BW tidak memerlukan peralatan berat dan hanya dilengkapi binokular, buku lukisan dan buku catatan bagi merekodkan maklumat mengenai warna, saiz, jumlah dan jenis burung yang ditemui di sesuatu lokasi.

Kebanyakan BW berada di bawah naungan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Namun, BP dan BW perlu mematuhi kod etika burung (COBE) iaitu garis panduan di dalam aktiviti pemotretan dan pemerhatian burung.

Jika di lokasi tumpuan untuk merakam gambar burung seperti di Fraser Hill, pasti terserempak dua kumpulan ini yang boleh dibezakan menerusi peralatan dan corak pakaian mereka.

“Terdapat lebih 745 spesies yang direkodkan di Malaysia dan burung ini terbahagi kepada empat spesies iaitu burung air (paya dan pantai), burung hutan tanah rendah, burung tanah tinggi pada 1,000 meter aras laut serta burung taman dan pinggir bandar yang kebanyakan dilihat di kawasan perumahan.

“Burung hijrah biasanya tiba di negara ini awal Oktober dan berada di sini sehingga Mac sebelum pulang ke negara asal.

“Kejayaan merakamkan imej terbaik adalah satu kepuasan yang maksimum dan saya cuba merakamkan imej burung itu menepati bentuk yang dimiliki sama ada warna, bulu dan bentuk paruh.

“Burung merbah kapur misalnya dikenali ‘yellow vented bulbul’, berdasarkan warna kuning pada bahagian bawah perutnya. Jika memuat naik gambar ‘yellow vented bulbul’ tanpa memperlihatkan warna kuning itu, imej ini dianggap tidak sempurna,”katanya.

Katanya, penggunaan nama burung di dalam bahasa Inggeris amat digalakkan kerana ia diguna pakai secara global berbanding nama dalam bahasa Melayu yang berbeza mengikut lokaliti.

“Namun, terjemahan nama haiwan itu disediakan dalam bahasa Melayu bagi membolehkan peminat tempatan mengenalinya dengan lebih dekat,” katanya yang juga pengasas awal kumpulan pemotret burung ‘Birds, Nature & US’ (BNU) bersama rakannya, Isa dan Muhammad Alzahari. Beliau juga adalah admin Malaysian Birding Club (MBC) di Facebook.

Ramai penggiat fotografi berminat menjadikan burung sebagai genre fotografi mereka, tetapi terpaksa memendamkan niat kerana beranggapan hobi ini memerlukan peralatan yang mahal sedangkan peralatan asas BP boleh diperoleh pada kadar serendah RM10,000.

Bagi mereka yang berkemampuan, biasanya akan menggunakan set peralatan yang terkini dan canggih kerana kos peralatan boleh mencapai sehingga RM50,000 dan ke atas.

Kata Sulaiman, sebelum memulakan aktiviti memotret burung, proses penyediaan perlu diambil kira bagi mengelakkan pembaziran masa dan faktor keselamatan.

“Adakalanya, BP perlu berada di dalam khemah khas selama berjam-jam malah lebih daripada sehari hanya untuk mengambil gambar satu spesies burung saja. Justeru, BP perlu banyak bersabar untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

“Kami juga tidak digalakkan bertindak seorang diri tapi bergerak secara berkumpulan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini kerana kebanyakan lokasi ialah hutan rimba.

“Lebih elok jika BP memaklumkan aktiviti yang akan mereka lakukan terutama lokasi yang ingin dituju kepada rakan atau keluarga terdekat sebagai langkah keselamatan,” katanya yang menjelajah hampir ke seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia bagi memenuhi hobinya sebagai pemotret burung.

Bagi Suhaimi Sabli, 43, dia masih baru dalam bidang ini, namun melakukan sepenuh masa. Pun begitu, selepas dua tahun baru dia yakin bergerak sebagai pemotret burung.

“Sebelum menikmati keseronokan untuk merakamkan pelbagai aksi burung, saya berusaha menimba pengalaman dan mengutip ilmu daripada rakan yang sudah lama menceburi bidang ini.

“Rakan BP banyak memberi tunjuk ajar malah saling berkongsi maklumat mengenai spesies burung kerana seseorang BP tidak akan mampu bergerak seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan dalam hobi yang sama.

“Kerjaya jurugambar turut meluaskan cabang minat saya sebagai BP malah ia kini dijadikan sumber pendapatan apabila saya turut menerima tempahan untuk melukis potret burung yang dirakam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 10:55 AM