KANAK-KANAK teruja melihat pelbagai foto spesies burung dipamerkan.
KANAK-KANAK teruja melihat pelbagai foto spesies burung dipamerkan.
Zulfadhli Zulkifli


KOMUNITI pemerhati burung atau lebih dikenali dengan Kelab Rekreasi & Pelancongan Hulu Selangor (KRPHS) Birders bukan sekadar menjadi platform untuk mengumpul peminat unggas semata-semata.

Sebaliknya komuniti itu memiliki peranan penting apabila bergerak aktif dalam kalangan masyarakat menerusi program kesedaran memelihara dan memulihara spesies unggas baik spesies tempatan mahupun burung migrasi luar negara yang menetap sementara di lokasi hutan paya serata negara termasuk di kawasan Hulu Selangor.

Salah satu program diterajui komuniti terbabit adalah Pameran Jalanan Fotografi Burung Kuala Kubu Bharu yang menampilkan koleksi tujuh ahli pemerhati burung komuniti terbabit.

Menurut wakil komuniti KRPHS Birders, Noor Azman Zainudin, 49, pameran itu menampilkan pelbagai spesies unggas yang pernah menghuni hutan sekitar Hulu Selangor terutama kawasan Kuala Kubu Bharu yang menjadi antara kawasan tumpuan aktiviti memerhati burung setiap tahun.

"Sedar atau tidak usia KRPHS Birders sudah lebih tiga dekad dan penganjuran pameran foto burung ini diharap memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penting usaha bersama dalam memelihara alam semula jadi yang menjadi habitat bagi semua spesies burung dipamerkan.

"Impak boleh lihat kanak-kanak terutama teruja apabila melihat kepelbagaian jenis burung yang terdapat dalam ekosistem kita dan mereka berminat untuk mengetahui cerita serta kisah setiap burung.

"Ini satu pendekatan yang 'ringan', tetapi berkesan apabila generasi muda diberi pendedahan awal mengenai penting pupuk kecintaan menjaga alam sekitar supaya spesies ini dapat terus hidup dalam hutan," katanya.

NOOR AZMAN
NOOR AZMAN

Kata Noor Azman lagi, komuniti ini tertubuh sejak 30 tahun lalu turut memiliki 15 ahli, namun empat daripadanya sudah meninggal, namun hasil kerja mereka masih dipamerkan sebagai penghormatan kerana komited terhadap usaha memulihara burung dan habitatnya.

"Pada mulanya semua ahli KRPHS Birders melakukan aktiviti memerhati dan merakam gambar burung sebagai hobi serta lama-kelamaan ia dilihat suatu aktiviti rekreasi yang memiliki signifikan cukup penting bukan sahaja kepada sektor pelancongan, malah aspek konservasi spesies burung terancam.

"Menerusi aktiviti pemerhatian dan rakaman foto burung terdapat dalam hutan sekitar atau berhampiran Kuala Kubu Bharu termasuk Bukit Fraser yang menjadi lokasi tahunan acara 'International Bird Watching,' boleh rekod dan memantau spesies burung yang jarang dilihat.

"Antara spesies burung terancam adalah burung punai jambu atau jambu 'fruit dove' yang terkenal dengan ciri warna merah jambu menyerlah didadanya. Selain itu, ada juga spesies burung enggang kelingking (oriental pied hornbill) ditemui di kawasan sama.

"Selain itu, spesies menarik juga adalah burung migrasi iaitu burung dari hemisfera sejuk ke hemisfera panas singgah ke lokasi hutan tertentu di Malaysia bermula pada September hingga April. Antaranya burung kedidi padang (oriental pratincole) dan burung helang hendrik (changeable hawk eagle) kerap ditemui berada di Kuala Kubu Bharu," katanya.

KOMITED dalam setiap segmen aktiviti berkait dengan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan unggas.
KOMITED dalam setiap segmen aktiviti berkait dengan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan unggas.

Selain pameran foto, kata Noor Azman, komuniti itu pernah membukukan koleksi gambar beserta maklumat penting mengenai burung berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

"Pernah juga komuniti ini bukukan lebih 101 spesies burung yang pernah dilihat dan dirakam untuk dikongsi dengan orang ramai.

"Komuniti lakukan atas dasar cinta kepada unggas dan mahu spesies terancam ini dapat diselamatkan menerusi aktiviti konservasi.

"Perancangan untuk wujudkan jilid kedua atau keluarkan satu lagi buku menampilkan karya dan kerja keras ahli KRPHS Birders menerusi gambar burung yang unik dan jarang dapat disaksikan orang luar," katanya.

Noor Azman tidak lupa menzahirkan rasa syukur dan terima kasih apabila komuniti pemerhati burung itu turut mendapat sokongan Majlis Perbadanan Hulu Selangor (MPHS).

"Ketika ini kami dalam proses membukukan koleksi foto burung membabitkan tujuh ahli bersama seorang jurugambar undangan.

KOLEKSI Noor Azman paling bernilai iaitu burung punai jambu.
KOLEKSI Noor Azman paling bernilai iaitu burung punai jambu.

"Jangkaan ia siap dan diterbitkan pada awal tahun ini sempena acara tahunan iaitu Wings of KKB yang diadakan pada April depan.

"Komuniti kami turut memiliki rakan kerjasama dari Jabatan Pembangunan Masyarakat MPHS menerusi aktiviti rekreasi memerhati burung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:10 AM