JOHAN pertandingan melukis burung, Muhammad Syafiq Kholid.
JOHAN pertandingan melukis burung, Muhammad Syafiq Kholid.
PESERTA fotografi burung sedang merakam gambar burung.
PESERTA fotografi burung sedang merakam gambar burung.
SEBAHAGIAN peserta sedang memerhati kelibat burung.
SEBAHAGIAN peserta sedang memerhati kelibat burung.
Siti Farahiyah Aziz


Perlumbaan burung? Pertama kali mendengarnya pasti ada yang berimaginasi bakal menyaksikan perlumbaan burung dan ia satu aktiviti yang pelik. Namun berbeza bagi peminatnya kerana perlumbaan burung adalah satu aktiviti khusus buat mereka.

Justeru, keindahan alam flora dan fauna menjadikan Kuala Kubu Bharu (KKB), Genting Highlands serta daerah Hulu Selangor sebagai pilihan khusus untuk program ‘Wings of KKB 2016: Selangor International Birds Race’ kali ke-5.

Sepanjang tempoh lima tahun penganjuran, kali ini penyertaan sangat menggalakkan apabila ia turut disertai penggemar burung luar negara dan secara keseluruhannya hampir 1,000 peserta terbabit bagi semua kategori dan lapisan usia.

Bagi kategori terbuka dan institusi pengajian tinggi (IPT), peserta perlu melalui 10 ‘check point’ yang bermula dengan lima di bandar Kuala Kubu Bharu, Taman Milenium, Kolam Air Panas Hulu Tamu, Hutan Lipur Pelajaran Sungai Kedondong sebelum berakhir di Awana Hotel Genting Highlands.

Spesies berbeza

Wakil peserta Universitas Airlangga, Indonesia, Happy Fardiansyah, 25, berkata, dia bersama dua rakan dari universiti sama berkongsi minat memerhati dan mengenali spesies burung sehingga membawa mereka menyertai program ini.

“Sebelum ini, program sebegini pernah diadakan di Indonesia dan ketika itu kami menjadi tuan rumah. Menerusi program itu, kami mendapat makluman bahawa program memerhati burung turut diadakan di Malaysia.

“Walaupun iklim di Indonesia dan Malaysia lebih kurang sama, namun hasil pemerhatian kami mendapati terdapat spesies burung yang tiada di Indonesia ada di sini. Ini membuatkan kami lebih seronok dan tertarik untuk mengenali burung itu,” katanya.

Berdasarkan beberapa siri tinjauan pakar antara burung yang dilihat oleh peserta adalah enggang kelingking (oriental pied hornbill) di KKB, merbah jambul (black crested bulbul) di Taman Milenium, tekukur api (little cucko dove) di Kolam Air Panas Hulu Tamu dan layang-layang jambul kecil (whiskered treeswift) di Hutan Lipur Pelajaran Sungai Kedondong.

Di kawasan peranginan Genting pula, antara spesies burung yang ditemui ialah enggang papan (great hornbill), enggang badak (rhinoceros hornbill), burung takur api (fire-tufted barbet), burung kesumba gunung (red-headed trogon) dan pelbagai spesies burung tanah tinggi lain.

Perlukan kesabaran

Wakil kumpulan tempat kedua kategori IPT, Siti Nur Syamimi Mohd Na’im, 20, dari Universiti Putra Malaysia berkata, dia bersama dua rakan menyertai program memerhati burung sejak lima tahun lalu iaitu sejak pertama kali diadakan.

“Kelibat burung yang sukar dijangka memerlukan kesabaran ting­gi bagi setiap peserta kerana kami bukan sekadar melihat burung sebagai ‘burung’ sebaliknya perlu peka dan mengenal pasti spesies serta ciri yang terdapat padanya.

“”Dalam tempoh lima tahun menyertai program ini, kami ba­nyak belajar menerusi pengalaman. Walaupun hanya menggunakan teropong (binokular) sebagai peralatan utama, kami dapat menikmati kepuasan apabila berjaya melihat spesies burung yang kecil dan sukar berada dalam kedudukan yang statik,” katanya.

Syamimi berkata, dalam program ini, kumpulannya berjaya mengenal pasti 45 spesies burung dan secara amnya dia sendiri boleh mengenali 10 spesies burung tanpa merujuk pada buku.

Ketelitian pada lukisan

Walaupun program ini khusus bagi memerhati burung, namun terdapat juga aktiviti lain yang disediakan iaitu pertandingan melukis.

Johan pertandingan melukis burung, Muhammad Syafiq Kholid, 21, berkata, dia menggunakan teknik lukisan basah atas basah dan setiap elemen burung perlu diperincikan dengan teliti.

“”Melukis haiwan kecil di atas lukisan adalah satu perkara yang mencabar. Seperti diri saya sendiri, pelukis perlu teliti dengan mengenal pasti elemen atau ciri yang terdapat pada burung supaya kelihatan hidup seperti burung sebenar.

“Dalam lukisan saya iaitu burung pipit, saya melihat burung itu menerusi fotografi burung dan kemudiannya melakukan kombinasi latar belakang yang bersesuaian,” katanya.

Pembangunan ekopelancongan

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Selangor, Arshad Mustapa berkata, ekopelancongan adalah satu industri yang sedang berkembang pesat pada masa kini.

“Selain menjana pendapatan, ia dapat mempromosikan usaha ke arah memelihara dan memulihara flora dan fauna. Kebanyakan negara maju memberikan tumpuan dan perhatian yang khusus kepada sektor ekopelancongan kerana ia menjadi satu kaedah yang berkesan dalam pembangunan lestari.

“Oleh itu, memerhati burung adalah aktiviti ekopelancongan yang mampu memberi pulangan dan mempunyai peminat dan kumpulan yang besar di seluruh dunia,” katanya.

Aktiviti ini juga popular terutama di Eropah dan Amerika Syarikat. Ini dapat dilihat ketika penganjuran Rutland Birds Fair United Kingdom yang berjaya mengumpulkan pemerhati burung dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 10:02 AM