Wang tunai bernilai RM20,400 hasil urusniaga rokok seludup ditemui dalam tempat simpan barang bahagian penumpang hadapan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dirampas di Chabang Empat. FOTO IHSAN POLIS
Wang tunai bernilai RM20,400 hasil urusniaga rokok seludup ditemui dalam tempat simpan barang bahagian penumpang hadapan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dirampas di Chabang Empat. FOTO IHSAN POLIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki ditahan bersama wang tunai berjumlah RM20,400 disyaki hasil urus niaga rokok seludup di Chabang Empat, di sini, kelmarin.

Penahanan suspek berusia 43 tahun dibuat sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) selepas Mitsubishi Triton dipandunya gagal melarikan diri kira-kira 1.30 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ibrahim Husin berkata, anggota sebelum itu mengekori pacuan empat roda terbabit dan kereta Proton Wira Aeroback dari arah Pengkalan Kubor ke Chabang Empat kerana mencurigakan.

"Menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandu kereta bertindak melarikan diri ke arah bangunan sekitar dan gagal dikesan, manakala pemandu Mitsubishi Triton pula berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan di dalam Proton Wira Aeroback menjumpai 10 kotak rokok (seludup) yang diletak di bahagian tempat duduk penumpang belakang serta bonet kenderaan terbabit.

"Pemeriksaan dalam pacuan empat roda itu pula menjumpai satu bungkusan plastik di dalam tempat simpan barang bahagian penumpang hadapan mengandungi wang tunai berjumlah RM20,400 disyaki hasil jual beli rokok seludup," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barangan berkenaan dirampas dan pihaknya percaya rokok seludup itu dibawa masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk pasaran sekitar Tumpat.

"Suspek direman lapan hari bermula semalam sehingga 6 November untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 1:22 PM