BERNAMA

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyarankan pengusaha bas ekspres dan bas persiaran tempatan memperketatkan syarat pengambilan pemandu bas dengan mewajibkan calon menjalani ujian saringan air kencing sebelum diambil bekerja.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata, langkah itu sebagai usaha menangani bilangan pemandu bas yang terbabit dengan aktiviti penagihan dadah sekali gus memberi impak kepada nyawa penumpang.

“Pengusaha bas perlu memandang serius perkara ini dan memastikan pemandu yang baru diambil bekerja perlulah bebas daripada dadah.

“Pemeriksaan berkala juga wajar dilaksanakan dan jika didapati positif, tindakan buang kerja mesti dilaksanakan,” katanya.

Izhar berkata, pengusaha bas perlu meletakkan aspek keselamatan pemandu dan penumpang sebagai keutamaan berbanding keuntungan.

Beliau berkata, pembabitan pemandu bas dengan penyalahgunaan dadah masih terkawal namun pihaknya tidak mengambil mudah perkara itu.

Katanya, pihaknya juga sering menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mengadakan program kesedaran.

Menurutnya, statistik yang diterima berhubung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bas pada operasi ketika Tahun Baharu Cina tahun lalu menunjukkan peningkatan iaitu 14 orang positif dadah berbanding tujuh orang tahun lalu.

Izhar berkata, dadah jenis methamphetamine seperti syabu sering menjadi pilihan kerana kesan penggunaannya yang dapat meningkatkan tenaga selain mudah didapati dengan harga berpatutan.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan pemandu bas terbabit dengan dadah ialah persekitaran pekerjaan, pengaruh rakan sekerja yang menagih, tekanan kerja dan sejarah penagihan lampau.

Menurutnya, Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang diwujudkan sejak 2010 mampu mengurangkan gejala penagihan dadah dalam kalangan pekerja melalui program pendidikan pencegahan kepada pekerja secara berterusan dan menjalankan ujian saringan air kencing secara berkala.

“Ini boleh meningkatkan faktor pelindung dalam kalangan pekerja namun bagi memastikan persekitaran yang sentiasa selamat, program pendidikan pencegahan yang berterusan mampu mendidik pekerja lebih peka terhadap ancaman dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 6:06 PM