Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sedia menyalurkan kepakaran untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatasi isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pasukan keselamatan itu.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya akan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membincangkan sekiranya PDRM memerlukan kepakaran dimiliki AADK.

“AADK ada sediakan program dipanggil Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang kita bantu pelbagai agensi, jadi sekiranya PDRM inginkan bantuan, kita sanggup membantu.

“Saya akan berhubung dengan JSJN sekiranya ada keperluan untuk menggunakan kepakaran yang ada dalam AADK untuk menentukan peraturan tertentu diadakan di dalam jabatan bagi mengelakkan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Acryl Sani (kanan) memakaikan sayap penerbangan kepada Zulkifli di majlis penutupan Kursus Pengurusan Pemantapan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di PLPGU, Ipoh hari ini. Foto Abdullah Yusof
Acryl Sani (kanan) memakaikan sayap penerbangan kepada Zulkifli di majlis penutupan Kursus Pengurusan Pemantapan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di PLPGU, Ipoh hari ini. Foto Abdullah Yusof

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Kursus Pengurusan Pemantapan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Ipoh hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain.

Zulkifli berkata, AADK sudah mengadakan program TEKAD di pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk membantu mereka menyediakan tempat kerja bebas dadah sekali gus mewujudkan suasana tempat kerja lebih selamat.

Hari ini, media melaporkan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu seramai lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi ‘Op Blue Devil’ yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan model projek rintis dilaksanakan AADK di 12 kawasan berisiko di tujuh negeri sejak Julai lalu, Zulkifli berkata, setakat ini hanya seramai 61 penagih yang datang secara sukarela untuk dirawat.

Menurutnya, jumlah itu adalah terlalu sedikit dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penagih yang dianggarkan sebanyak 3,000 orang di 12 kawasan berisiko berkenaan.

“Program ini kita sudah adakan sejak Julai lalu dan ia akan diteruskan dalam tempoh enam bulan, namun jumlah penagih yang datang secara sukarela masih sedikit walaupun pelbagai usaha turun padang diadakan.

“Masyarakat seharusnya turut sama membantu kita bagi membolehkan penagih ini datang secara sukarela kerana AADK hendak membantu, penagih ini adalah pesakit dan pesakit seharusnya mendapatkan rawatan untuk dipulihkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 2:39 PM