Simpanan air di Empangan Air Itam mula menyusut berikutan cuaca panas ketika ini. FOTO NSTP
Simpanan air di Empangan Air Itam mula menyusut berikutan cuaca panas ketika ini. FOTO NSTP
Zuhainy Zulkiffli

EMPANGAN Air Itam, Georgetown menyusut 3.2 peratus dalam masa seminggu ketika cuaca panas melanda Pulau Pinang.

Laporan menerusi sesawang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mencatatkan bacaan air di empangan terbabit ialah 64.1 peratus hari ini berbanding 67.3 peratus 18 Februari lalu.

Empangan Teluk Bahang juga turut menyusut 1.9 peratus bagi tempoh sama.

Empangan terbabit mencatatkan bacaan 77.2 peratus hari ini berbanding 79.1 peratus 18 Februari lalu.

Terdahulu, dalam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, taburan hujan yang rendah adalah sebab utama penurunan dramatik dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.

“Bagi tempoh antara 1 Januari hingga 18 Februari lalu, tolok taburan hujan di empangan terbabit mencatatkan hanya 94 milimeter (mm) hujan.

“Sebagai perbandingan, tolok taburan hujan di Teluk Bahang mencatatkan 172.5 mm hujan sejak 1 Januari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 4:34 PM