Zuhainy Zulkiffli


EMPANGAN Air Itam, Georgetown, mengalami penurunan kapasiti efektif yang ketara sebanyak 24.9 peratus sejak awal tahun lalu berbanding semalam, berikutan cuaca panas melanda negeri ini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mendapati kapasiti efektif empangan itu sebanyak 92.2 peratus pada 1 Januari lalu berbanding hanya 67.3 peratus semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, penggunaan air yang tinggi di kawasan sekitar menjadi sebab sekunder berlakunya penurunan terbabit.

Katanya, purata pengambilan harian pula meningkat sebanyak 167 peratus pada Januari dan 327 peratus pada bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu (0.15 peratus).

“Taburan hujan yang rendah menjadi faktor penurunan drastik apabila tolok taburan hujan hanya mencatatkan 94 milimeter bagi tempoh berkenaan.

Simpanan air di Empangan Air Itam dikatakan mula menunjukkan penurunan ketara berikutan cuaca panas dan kemarau yang mula melanda negara. FOTO NSTP
Simpanan air di Empangan Air Itam dikatakan mula menunjukkan penurunan ketara berikutan cuaca panas dan kemarau yang mula melanda negara. FOTO NSTP

“Dengan ini, PBAPP sudah melaksanakan langkah kawalan bekalan air musim kemarau bagi memastikan bekalan air berterusan sehingga tiba musim hujan dan pengguna juga dinasihatkan supaya menjimatkan penggunaan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Jaseni berkata, tahap penggunaan air yang tinggi menjadi gawat, terutama apabila simpanan air mentah di empangan terbabit mengalami penurunan ketara.

“Penggunaan air di bandar Air Itam dan kawasan sekitarnya pula meningkat disebabkan keadaan cuaca panas dan kering, tambahan pula dengan sambutan perayaan dalam tempoh berkenaan.

“Bagi Empangan Teluk Bahang di Balik Pulau, bagaimanapun, mencatatkan kapasiti efektif 79.1 peratus semalam berbanding 78.8 peratus pada 1 Januari lalu iaitu peningkatan 0.3 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 7:38 PM