EMPANGAN Air Itam. FOTO Arkib NSTP
EMPANGAN Air Itam. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini terus menunjukkan penurunan dan dijangka hanya dapat bertahan selama 29 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K Pathmanathan, berkata setakat jam 12 tengah hari ini, kadar penyusutan adalah 36.6 peratus.

"PBAPP akan memuktamadkan langkah yang akan diambil bagi meningkatkan kapasiti air di Empangan Air Itam selepas pemulihan di Sungai Perai.

"Selepas pemulihan, kami akan memberi kemas kini dengan sewajarnya," katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pulau Pinang masih mempunyai Empangan Teluk Bahang dekat sini yang merekodkan kapasiti efektif 87.8 peratus, selain Empangan Mengkuang yang berperanan sebagai empangan simpanan di Bukit Mertajam berada pada paras 90 peratus setakat ini.

Semalam, Pathmanathan mengesahkan kapasiti Empangan Air Itam melepasi tahap waspada dua dengan pihaknya sudah mengusulkan permohonan untuk melakukan pembenihan awan.

Sebagai rekod, tahap waspada pertama adalah pada kadar 50 peratus, tahap kedua 40 peratus manakala tahap ketiga ialah 30 peratus dan ke bawah.

Empangan Air Itam merekodkan kapasiti efektif 83 peratus pada 1 Disember lalu, namun insiden paip pecah di Sungai Perai pada 18 Disember menyebabkan penggunaannya ditingkatkan bagi menampung kegunaan penduduk terjejas menyebabkan paras air menyusut kepada 66.7 peratus setakat 5 Januari lalu.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, rekod pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam yang digunakan ketika krisis itu berlaku adalah sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) berbanding 22JLH pada hari biasa.

Penyusutan itu turut didorong cuaca kering ketika ini dengan empangan berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk antaranya meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:17 PM