IKHTIAR Muzami Daud menjejaki anaknya yang hilang menerusi media sosial berhasil menemukan pemuda itu di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi. FOTO Facebook Peon Johor
IKHTIAR Muzami Daud menjejaki anaknya yang hilang menerusi media sosial berhasil menemukan pemuda itu di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi. FOTO Facebook Peon Johor
Mohd Sabran Md Sani


“TIDAK sampai dua jam kisah anak hilang ditularkan, dia ditemui dalam keadaan selamat di warung di Sungai Rengit, Pengerang,” kata Muzami Daud, 50, berhubung kehilangan dan penemuan anak sulungnya dalam kejadian 21 Februari lalu.

Muzami menerusi laman sosial Facebook (FB) Peon Johor, meminta bantuan orang ramai mengesan anaknya, Saiful Ikram Muzami, 25, yang bekerja di Pengerang, Kota Tinggi, selepas anaknya itu tidak pulang ke rumah sejak 6 petang, 21 Februari lalu.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia mengambil keputusan menularkan gambar anaknya kerana bimbang keselamatan anak sulungnya itu.

“Saya memang risau keselamatan anak, bahkan ini kali kedua dia hilang, namun kejadian kali pertama dia ditemui di kawasan berhampiran berbanding kejadian Khamis lalu.

“Khamis lalu, kenderaannya sahaja ada di tempat kerja manakala dirinya hilang entah ke mana menyebabkan kami sekeluarga berikhtiar mencarinya,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, anaknya itu ditemui seorang pemilik warung di Sungai Rengit dan bertindak menyapanya selepas wajahnya dilihat seiras dengan wajah lelaki hilang tular di media sosial.

“Dia (anak) hanya memaklumkan telefonnya hilang dan meminta bantuan untuk menghubungi saya,” katanya.

Menurutnya, kejadian seperti itu sering berlaku di kawasan Pengerang apatah lagi dianggap ‘keras’ berikutan kedudukannya yang jauh dari kesibukan orang ramai.

“Dalam keadaan tanpa sedar dia meninggalkan kereta berdekatan pejabatnya bersama telefon bimbitnya.

“Selepas itu, anak sulung mendakwa berjalan kaki sejauh tujuh hingga lapan kilometer dari lokasi kehilangannya ke Sungai Rengit.

“Apa pun, kami sekeluarga bersyukur dengan bantuan ramai yang sudi mentularkan berita kehilangan Saiful Ikram hingga ditemui semula, terima kasih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 1:52 PM