Tertuduh, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri pelbagai barang kemas dan wang tunai ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Tertuduh, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri pelbagai barang kemas dan wang tunai ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


WANITA hamil empat bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri pelbagai barang kemas dan wang tunai, kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Fazlina Shamsudin, 33, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang yang masih bebas, didakwa mencuri barang kemas dan wang tunai RM170 milik Rama Baba, 74, pada jam 4 petang, 12 Oktober 2015, di sebuah rumah di Tanjung Kling, di sini.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda bagi kesalahan pertama dan dengan sebatan bagi kesalahan kedua.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Nik Nurhaizun Che Mat merayu, jaminan rendah ditawarkan kepada anak guamnya kerana tertuduh mempunyai lima anak berusia dua hingga 10 tahun, manakala suaminya hanya seorang pengawal keselamatan.

"Tertuduh juga baru tamat dari hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) semalam dan dibebaskan di Mahkamah Batu Pahat, Johor.

Selepas mendengar hujah dari kedua-dua pihak, Norina kemudian menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 5:12 PM